PAS ziarah keluarga Allahyarham Koperal Mahadir

Anggota polis maut dilanggar motosikal ketika kejar suspek jenayah

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: PAS Kawasan Tasek Gelugor telah mengadakan kunjungan dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga anggota polis, Allahyarham Koperal Mahadir Elis, 38 di Sungai Dua, Butterworth, di sini semalam.

Allahyarham yang bertugas di Balai Sungai Petani terlibat dalam satu kemalangan dilanggar motosikal ketika melintas jalan sewaktu mengejar suspek jenayah di Padang Temusu, Sungai Petani, baru-baru ini.

Bendahari PAS Tasek Gelugor, Abdullah Sahani berkata, PAS Tasek Gelugor amat prihatin terhadap nasib menimpa keluarga Allahyarham dan akan sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anaknya.

- Advertisement -

Rombongan turut disertai Setiausaha Muslimat PAS Tasek Gelugor, Zakinah Yacob Shah dan wakil Yayasan Darul Hadis, Ahmad Buqari Hamali ini telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan beberapa peralatan persediaan untuk pembukaan sekolah.

Ketua Penerangan PAS Tasek Gelugor, Rizal Hafiz Ruslan dalam pada itu menggesa supaya semua lapisan masyarakat sentiasa bersama-sama pihak polis di dalam mencegah jenayah dengan menyalurkan maklumat berkaitan.

“Anggota polis sentiasa bertugas menjaga keselamatan orang ramai sepanjang masa dan kita tidak lupa jasa mereka. Justeru, PAS amat berterima kasih kepada seluruh anggota polis yang berada di barisan hadapan dalam menjaga keselamatan negara.

“Kami amat menyanjung dan menghargai jasa mereka yang sanggup mempertaruh keselamatan diri, demi menyelamatkan nyawa orang lain,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah dilaporkan Bernama berkata, Koperal Mahadir yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, sebelum kejadian, pada 3:45 pagi arwah bersama anggota lain telah bergerak ke Kampung Kepala Bukit dan Kampung Sungai Pasir di mana berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan yang merupakan suspek kes pecah rumah, berusia antara 32 dan 50 tahun.

“Susulan penangkapan itu, arwah dan anggota (rakan setugas) membuat serbuan ke atas rumah seorang lagi suspek yang masih bebas di Padang Temusu.

“Suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis dan arwah kemudiannya mengejar suspek ke arah jalan utama kira-kira 500 meter sebelum dilanggar oleh sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 sewaktu melintasi jalan.

“Arwah yang sudah 12 tahun berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertugas di daerah Kuala Muda sejak tiga tahun lepas, meninggalkan seorang isteri, Azlila Talib, 39, dan tiga orang anak berusia lima, lapan dan 17 tahun.

“Jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Rashid, Sungai Dua di Butterworth,” kata Adzli, Ahad lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai penangkapan tiga suspek kes samun, Adzli berkata ketiga-tiga suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau berkaitan samun, dadah, curi kenderaan dan pecah rumah.

“Ujian saringan air kencing juga mengesahkan ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/1/2021

- Advertisement -