Pelajar UniMAP dapat data internet percuma

- Advertisement -

ARAU: Seramai 4,150 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dari golongan B40 yang terjejas akibat Covid-19 akan menikmati pakej data internet percuma.

- Advertisement -

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, data internet bagi tempoh sebulan bermula 1 hingga 31 Januari ini.

Menurut beliau, pemberian kad sim itu bersaiz 40 GB ditawar Celcom dengan harga terbaik kepada UniMAP iaitu RM220,000 dengan jumlah 4,150 kad sim.

“Walaupun hanya untuk tempoh sebulan, saya kira ia adalah satu kemudahan yang akan membantu pelajar melaksanakan proses pembelajaran dan menyelesaikan tugasan dalam talian dengan lancar.

“Pembahagian nama pelajar bagi pemberian kad sim tersebut mengikut Kolej Kediaman masing-masing, manakala bagi pelajar yang masih berada di rumah, ia akan dihantar melalui pos ke rumah mereka.

“Semoga mereka dapat memanfaatkan kemudahan tersebut untuk proses pembelajaran dan terima kasih kepada pihak Celcom Axiata kerana membantu meringankan beban pelajar UniMAP,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pusat Aktiviti Pelajar dan Pemberian Insentif Khas Kasih UniMAP baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan dan Ketua Sektor Awam Celcom Axiata Berhad, Hafizi Mohd Padely. – HARAKAHDAILY 11/1/2021

- Advertisement -