KPPK jangka peningkatan harga MSM lebih baik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menjangkakan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) pada tahun ini akan mencatatkan prestasi yang lebih baik berdasarkan kepada perkembangan terkini.

Menterinya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pengeluaran MSM pada tahun ini diunjurkan sebanyak 19.70 juta tan berbanding 19.14 juta tan pada tahun 2020.

- Advertisement -

Katanya, ia berikutan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta kesan cuaca kering yang mempengaruhi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan seterusnya pengeluaran MSM.

Menurutnya, pencapaian industri sawit tahun lalu mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2019 khususnya prestasi eksport dan harga minyak sawit.

“Harga purata Minyak Sawit Mentah (MSM) bagi tahun 2020 meningkat dengan ketara kepada RM2,685.50 per tan berbanding RM2,079 per tan pada tahun 2019.

“Harga MSM berada di paras tertinggi, RM3,835.50 per tan pada 24 Disember 2020 berbanding paras terendah RM2,021.50 per tan pada 12 Mei 2020, iaitu peningkatan sebanyak 89.7 peratus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Palm Oil Economic Review and Outlook (R&O) Virtual Conference 2021, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata pelaksanaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) secara mandatori sejak 1 Januari 2020 meliputi sektor ladang, pekebun kecil dan kilang kelapa sawit bertujuan meningkatkan pengeluaran minyak sawit mampan dan penjenamaan minyak sawit Malaysia yang menyumbang peningkatan daya saing industri itu di peringkat global.

Jelasnya, pematuhan Pensijilan MSPO membuktikan pengeluaran minyak sawit Malaysia memenuhi pelbagai keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa termasuk amalan perburuhan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

“Sehingga 31 Disember 2020, seluas 5.2 juta hektar atau 88.25 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan yang ditanam sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO. Sejumlah 434 kilang atau 96.02 peratus daripada 452 kilang kelapa sawit juga telah mendapat sijil MSPO.

“Bagi pekebun kecil, seluas 311,739.51 hektar (31.61 peratus) kawasan tanaman sawit persendirian telah dipersijilkan MSPO, manakala pekebun kecil tersusun di bawah FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi kerajaan negeri telah mencapai 98.54 peratus atau seluas 671,583.90 hektar disijilkan,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, kesemua 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah memperoleh sijil MSPO yang melibatkan penyertaan 94,328 orang pekebun kecil persendirian (37.74 peratus) dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 369,369 hektar (38.87 peratus).

Katanya lagi, kementerian melalui Agensi dan Majlis di bawahnya akan terus mempergiatkan usaha meningkatkan penglibatan pemain industri dan pekebun kecil dalam pelaksanaan pensijilan MSPO.

“MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) telah menyediakan kemudahan pendaftaran MSPO secara dalam talian di mspo.mpob.gov.my dan di 53 pejabat cawangan MPOB di seluruh negara. MPOB juga memperkenalkan kaunter bergerak MSPO yang akan berada di kawasan-kawasan strategik untuk pekebun kecil mendaftar,” ujarnya.

Sehubungan itu, KPPK optimis prestasi perdagangan minyak sawit tahun ini akan lebih baik berikutan ramalan positif ekonomi negara selain produktiviti yang dijangka meningkat berikutan amalan pertanian baik yang menjadi asas kepada Pensijilan MSPO. – HARAKAHDAILY 11/1/2021

- Advertisement -