Khidmat Malaysia gerak misi bantuan banjir

TEMERLOH: Khidmat Malaysia telah menggerakkan operasi Misi Bantuan Banjir ke negeri-negeri terjejas terutama Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor melibatkan koordinasi dari negeri bantu lainnya.

Pengerusi Khidmat Malaysia, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah sendiri antara bergelumang dengan usaha tersebut untuk menangani trauma mangsa apabila turun di Temerloh pada 7 dan 8 Januari lalu.

Advertisement

Misi selama dua hari ini bermula di Kampung Insaf dan seterusnya bergerak ke beberapa lokasi yang tenggelam oleh banjir Taman Mentakab Indah menggunakan bot, selain ke Tanjung Batu dan Paya Jauh.

Misi bantuan banjir di bawah koordinasi Khidmat Malaysia PAS Pusat bersama Jabatan Amal Malaysia, Muslim Care dan Alternative 4×4 Club ini telah membawa sumbangan berupa makanan dan keperluan asas.

Ustaz Mohd Yusni mengetuai misi ini bersama Ketua Pemuda Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional telah meredah lokasi-lokasi banjir menggunakan pacuan empat roda.

Dalam pemerhatian mereka, terdapat banyak harta benda seperti kereta, motosikal dan perabot rumah yang tidak dapat diselamatkan disebabkan banjir yang berlaku ini.

“Beberapa tempat yang telah ditutup bagi kenderaan menyebabkan penghantaran bantuan makanan ini terpaksa menggunakan bot.

“Banyak agensi dan NGO telah bekerjasama turun ke Pahang bagi memberi bantuan makanan dan operasi pembersihan rumah mangsa banjir hari ini di seluruh Pahang yang terjejas dengan banjir.

“Mangsa banjir terkesan dengan pandemik COVID-19 dan terpaksa berhadapan dengan bencana banjir yang berlaku pula. Sumbangan yang kita salurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mereka,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 11/1/2021