Amal Mega Blood Donation jadi solidariti rakyat

- Advertisement -

BUKIT GELUGOR: Amal Mega Blood Donation (AMBD) yang menjadi kempen derma darah terbesar dan bersejarah diadakan di seluruh negara telah membuka tirai penganjurannya bermula di Pulau Pinang, kelmarin.

Program anjuran Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan kerjasama Tabung Darah Negara ini akan dilaksanakan pada tarikh dan tempat mengikut ketetapan negeri masing-masing.

- Advertisement -

Ketua Pengarah AMAL, Norazman Ishak berkata, pihaknya mensasarkan 5,000 penderma di seluruh negara yang sekali gus menampung kekurangan bekalan darah dialami Tabung Darah Negara mutakhir ini.

”Kita akan jadikan program ini sebagai program berkala dalam membantu menambah bekalan darah kepada Tabung Darah Negara.

”Sepertimana kita sedia maklum, 450 milimeter darah yang kita sumbangkan dapat menyelamatkan tiga nyawa dengan izin Allah S.W.T,” kata beliau.

Di negeri ini, penganjuran diadakan di empat zon yang mewakili setiap daerah bagi melancarkan proses pendermaan menurut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di musim COVID-19 ketika ini.

Lokasi AMBD zon Timur Laut dan Barat Daya telah diadakan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Sardon, manakala di daerah Seberang Perai Utara diadakan di Masjid Dato’ Sheikh Adnan, Penaga.

Bagi daerah Seberang Perai Tengah, penganjuran diadakan di Mydin Bukit Mertajam, manakala di Seberang Perai Selatan telah diadakan di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Jawi.

Pengerusi Masjid At-Taqwa Taman Tun Sardon, Syed Baba Ahmad Syed Peer berbesar hati kerana masjidnya dipilih sebagai salah satu lokasi penganjuran program ini yang sangat bermakna kepada masyarakat ini.

”Kami bersedia bila-bila masa untuk penganjuran program seperti ini lagi dan berharap program ini bukan kali pertama dan terakhir di sini,” kata beliau.

Program AMBD di Pulau Pinang sahaja telah direkodkan berjaya mengumpul 325 penderma yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum di negeri ini.

Di KEPALA BATAS, kemeriahan program AMBD diraikan oleh antaranya Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim dan Ketua Muslimat PAS Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idrus.

Malah turut bersama adalah Pengarah AMAL Pulau Pinang, Baharin Ahmad dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas, Sobhi Omar dan Pengarah JPrD Penaga, Zaharen Abdul Kadir.

Ustaz Razib dalam ucapannya menyatakan bahawa kempen ini penting bagi memenuhi keperluan darah yang kritikal di mana penganjurannya menjadi peluang kepada setiap anggota masyarakat.

Malah katanya, ia selaras tuntutan Allah kepada orang beriman untuk saling bertolongan dalam perkara kebajikan dan takwa dan berharap program seumpama dapat dijayakan lagi di Masjid Dato’ Sheikh Adnan, Penaga itu.

Hadir sama adalah Pengerusi Masjid Dato’ Sheikh Adnan, Mohamad Muhammad Ali pada kempen dijayakan 20 petugas dari Unit Tabung Darah Hospital Kepala Batas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – HARAKAHDAILY 11/1/2021

- Advertisement -