98.6 peratus pekebun kecil telah terima BMT 2020

- Advertisement -

JEMPOL: Kerajaan telah menyelesaikan pembayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2020 kepada kira-kira 237,000 pekebun kecil getah atau 98.6 peratus daripada yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), membabitkan jumlah RM122 juta, setakat 5 Januari lalu.

Pengerusinya Datuk Mohd Salim Mohd Shariff berkata masing-masing menerima RM600 yang bertujuan meringankan beban mereka mendepani penurunan produktiviti berikutan musim tengkujuh.

“Pembayaran dibuat menerusi e-perbankan. Bagi kawasan pedalaman yang tidak ada bank atau kemudahan jalan raya yang baik, khususnya di Sabah dan Sarawak, pegawai RISDA ke kawasan tersebut dan menyerahkan sendiri BMT, jadi tidak timbul isu ketirisan,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Back To School 2021@KPLB di sini hari ini anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif YPM Datuk Dr Mohd Nizar Sudin.

BMT 2020 layak diberikan kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang mengusahakan keseluruhan tanah tidak melebihi 2.5 hektar. Pembayaran dilakukan dalam dua fasa dengan fasa pertama sebanyak RM300 dilakukan Disember lalu dan bakinya pada bulan ini.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata RISDA sedang menyemak kerugian yang dialami pekebun kecil akibat bencana banjir, selain akan membaik pulih jalan yang menghubungkan kebun getah bagi membolehkan pengusaha kembali bekerja apabila musim tengkujuh berakhir.

Sementara itu, Mohd Nizar berkata YPM akan menyalurkan sumbangan berjumlah RM2.6 juta melibatkan 44,400 pelajar B40 di seluruh negara menerusi Program Back To School 2021@KPLB.

Setakat ini bantuan telah diagihkan kepada pelajar di tiga negeri, iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, katanya.

Selain itu, YPM juga akan menubuhkan pasukan pelaksana pasca banjir bagi membantu pelajar, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia yang terjejas banjir. – BERNAMA

- Advertisement -