LKIM peruntuk RM1 juta bantu nelayan terjejas banjir

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan geran RM1 juta menerusi Skim Bantuan Bencana Alam, untuk membantu nelayan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ia melibatkan bantuan kerosakan bot, peralatan dan rumah akibat bencana alam tersebut, namun setakat ini LKIM belum menerima laporan mengenai jumlah nelayan terlibat.

Katanya pegawai LKIM dan Persatuan Nelayan setiap negeri sedang membuat pemantauan, bagi mengesan dan membantu nelayan berdaftar, serta menilai kerugian yang dialami.

- Advertisement -

Menurut beliau, menerusi skim tersebut nelayan yang layak akan mendapat bantuan sebanyak RM10,000 jika bot mereka rosak, sementara kerosakan pukat dan lain-lain peralatan (RM3,000), rumah (RM10,000) dan lain-lain peralatan rumah (RM1,000).

“Selain itu bantuan bekalan makanan sebanyak RM20,000 dan peralatan pembersihan serta keperluan asas sebanyak RM20,000 juga akan dipertimbang kepada nelayan yang layak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan di Persatuan Nelayan Matang di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 22 nelayan menerima bantuan antara RM300 dan RM1,000 setiap seorang membabitkan peruntukan berjumlah RM11,400, selepas rumah mereka di Kampung Matang Gelugor, Matang dan Kuala Sepetang dilanda banjir baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, LKIM percaya tidak ramai nelayan yang terjejas dengan banjir di Pantai Timur, kerana kebanyakan kawasan terjejas tidak melibatkan penempatan nelayan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata walaupun berlaku banjir di Pantai Timur, bekalan ikan adalah mencukupi.

“Pendaratan ikan berlaku macam biasa dan kita mempunyai bekalan mencukupi. Pendaratan ikan 60 peratus dari laut, 20 peratus dari ternakan akuakultur dan 20 peratus diimport.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Abu Hussin berkata  LKIM memperuntukan RM1.066 juta bagi melaksanakan bantuan baik pulih rumah nelayan di bawah program khas perumahan, membabitkan 82 buah rumah di seluruh negara tahun lepas.

“Untuk bina baharu pula, sebanyak 30 dilaksanakan tahun lepas dengan peruntukan RM1.6 juta,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -