Tarikh SPM dipinda ke 22 Feb-25 Mac

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dipinda kepada 22 Februari hingga 25 Mac tahun depan, kata Timbalan Menteri Pendidikan 1 (KPM), Muslimin Yahaya.

Menurutnya, pindaan itu dibuat mengambil kira Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada bulan Mac hingga Jun dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa buah negeri selepas itu.

- Advertisement -

“Tarikh peperiksaan SPM yang pada asalnya dijadualkan pada 16 November sehingga 7 Disember 2020 telah dijadualkan semula pada 6 Januari sehingga 9 Februari 2021 dan terkini, telah dipinda sekali lagi kepada 22 Februari hingga 25 Mac 2021.

“Dengan pindaan tarikh peperiksaan SPM, calon akan mempunyai masa panjang untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan.

“Selain daripada itu, ianya juga memberi lebih masa kepada mereka untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka apabila sekolah dibuka semula pada 20 Januari 2021,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Muslimin menjawab soalan Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub [BN-Machang] yang meminta penjelasan berhubung usaha yang telah diambil dalam memastikan pelajar yang bakal menduduki SPM dapat membuat persediaan yang cukup seperti mana pembelajaran yang formal sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.

Kata Muslimin, KPM yakin bahawa usaha-usaha ini akan dapat memastikan calon-calon SPM mempunyai ruang dan peluang untuk membuat persiapan rapi sebelum menduduki peperiksaan. – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -