Jentera kerajaan diatur gerak bantu rakyat terjejas banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui jabatan dan agensi di bawahnya telah bergerak secara bersepadu dalam menghadapi dan membantu mangsa banjir yang sedang melanda negara ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata, bagi tujuan tersebut, seramai 8,653 pegawai serta anggota polis dari enam kontinjen iaitu Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu) telah dilibatkan.

Terangnya, mereka digerakkan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 (Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara) bagi bantuan operasi banjir dan sebanyak 1,329 aset kenderaan PDRM telah diatur gerak termasuk 164 bot, 3 bas, 42 van dan 13 ambulan.

- Advertisement -

Selain itu menurutnya, seramai 1,662 anggota RELA dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di 6 buah negeri (Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu) dan ditugaskan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sebanyak 59 aset kenderaan RELA Malaysia telah diaturgerak melibatkan 23 SUV, 7 kenderaan darat pacuan 4 roda, 2 lori, 8 MPV, 10 sedan dan 9 van.

“Aset-aset strategik seperti pesawat udara AW 139 dan bot-bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersedia untuk diatur gerak bagi operasi membantu dan menyelamatkan mangsa banjir.

“(Iaitu) engan koordinasi bersama pihak NADMA, terutamanya bagi kegunaan di negeri-negeri yang terjejas teruk seperti Johor dan Pahang,” ujarnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Manakala aset-aset awam seperti bas, lori dan trak berkapasiti besar milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga akan dilibatkan dalam operasi-operasi banjir di seluruh negara, jelas beliau.

Tambah beliau, bagi membantu memudahkan urusan mangsa banjir yang kehilangan dokumen-dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran, Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah digerakkan kekawasan-kawasan pedalaman.

“Melalui Unit Bergerak JPN, mangsa-mangsa banjir tidak perlu lagi hadir ke cawangan JPN negeri masing-masing untukmemohon dokumen tersebut.

“Sehubungan itu, KDN ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-22663333 atau 03-22663444.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pertahanan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula mengatur gerak seramai 4,983 pegawai dan anggota tentera berserta 1,015 aset mulai semalam.

Op Murni tersebut katanya, bagi membantu mangsa-mangsa banjir di enam negeri terjejas teruk iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak yang dilanda bah sejak akhir minggu lepas.

Beliau berkata 4,983, pegawai dan anggota tentera yang diatur gerak itu adalah bagi membantu memindahkan mangsa banjir, selain memasang jambatan jenis ‘bailey bridge’ bagi menghubungkan jalan kampung yang terputus akibat bencana tersebut dengan pusat bandar.

Aset-aset ATM yang digerakkan melibatkan 800 buah trak pelbagai saiz, 197 pelbagai bot, 10 jambatan bailey bridge, enam buah helikopter dan dua buah pesawat pengangkut, katanya pada sidang media mengenai atur gerak ATM dalam Op Murni Bantuan Pengurusan Bencana Banjir, di Wisma Pertahanan, di sini semalam.

Beliau berkata, ATM juga telah mengatur gerak sebahagian trup dan asetnya ke negeri-negeri terjejas teruk iaitu iaitu daripada Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja di kawasan tanggungjawab di Pahang iaitu Kuantan dan Maran, manakala Rejimen Pertama Kor Armor Diraja di kawasan Pekan dan Rompin.

Manakala di Johor pula ujarnya, trup Batalion 10 Rejimen Askar Melayu Diraja dihantar ke tujuh daerah terjejas iaitu Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Kluang dan Johor Bahru,  manakala Rejimen 33 Artileri Diraja diatur gerak ke Kota Tinggi.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemindahan banjir, Ismail Sabri berkata setiap pusat pemindahan banjir telah mempunyai SOP.

“Kami ‘alert’ dengan situasi semasa COVID-19 yang terkini, oleh itu orang ramai tidak perlu bimbang kerana cara memindahkan orang tua yang uzur ketika banjir juga mempunyai SOP,” katanya dilapor Bernama.

Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Dalam pada itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menggerakkan Op Murni menghantar lebih satu tan bekalan makanan dan barangan keperluan asas ke kawasan terjejas banjir di Pahang sejak kelmarin.

Pasukan No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan telah mengatur gerak helikopter EC 725 AP dan anggotanya bagi menghantar bekalan berkenaan ke kawasan yang terputus hubungan menerusi laluan darat.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM memaklumkan, tiga penerbangan dilakukan bagi menghantar bekalan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seberat 250 kilogram di sekitar daerah Kuala Lipis dan Temerloh.

Penghantaran dilakukan ke kem Pasukan Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD), Sekolah Kebangsaan (SK) Budu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lipis dan SK Lubuk Terua, lapor Bernama.

“Semalam, 10 penerbangan dilakukan bagi menghantar satu tan bekalan daripada JKM ke Kem Batu 3, SK Lubuk Terua, SK Lanchang, Institut Kemahiran Belia Negara Lanchang, SK Desa Bakti, SK Rantau Panjang, SK Penjom dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh,” menurut kenyataan itu.

Turut dinyatakan dalam kenyataan tersebut, TUDM juga melakukan tiga penerbangan ihsan bagi membolehkan mangsa banjir mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, semalam.

“Penerbangan ihsan pertama membawa seorang lelaki yang menghidap sakit jantung iaitu Mohd Sayuti Md Rajab, 39, manakala penerbangan ihsan kedua membawa seorang lelaki warga emas yang mengalami penyakit buah pinggang iaitu Mohd Zain Abdul Manan, 77, yang kedua-duanya diterbangkan dari SK Lanchang.

“Penerbangan ihsan ketiga membawa dua bayi pasangan kembar berusia empat bulan, Afya Zara Rosman Hafsam dan Arfan Naufal Rosman Hafsam yang diterbangkan dari SMK Teluk Sentang,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, semua mangsa diterbangkan ke SMK Seberang Temerloh sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital berkenaan. – HARAKAHDAILY 6/1/2021

- Advertisement -