Lebih 2,000 mangsa banjir dipindah di Kelantan

Adun Guchil membantu memindahkan penduduk di Kuala Krai
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat apabila portal e-Banjir Kelantan merekodkan seramai 2,070 mangsa banjir dipindahkan sehingga jam 2 petang tadi.

Jumlah mangsa banjir tersebut melibatkan 546 keluarga, di mana paling ramai penduduk dipindahkan di Jeli seramai 1,060 orang daripada 296 keluarga.

Pusat Penempatan Sementara (PPS) paling ramai menempatkan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1 seramai 266 orang daripada 73 keluarga.

- Advertisement -

Selain itu, SK Lubok Bongor seramai 253 mangsa daripada 66 keluarga.

Kedua paling ramai penduduk dipindahkan adalah di Kuala Krai melibatkan seramai 576 orang daripada 124 keluarga.

PPS di Pusat Komuniti Chuchuh Putera A menempatkan seramai 81 mangsa daripada 17 keluarga. Manakala di SK Sungai Sok pula 79 orang daripada 15 keluarga.

Selain itu, Sekolah Menengah Teknik Kuala Krai 47 mangsa daripada 11 keluarga.

Manakala di Tanah Merah pula seramai 352 penduduk berpindah ke PPS termasuk di Sekolah Menengah Ugama Kuala Kajang seramai 57 orang daripada 13 keluarga.

Portal e-Banjir juga melaporkan 7 jalan di lokasi banjir ditutup kepada semua kenderaan termasuk jalan Kampung Kuala Hau-Temangan dan Kampung Paloh Rawa-Temangan.

Sementara itu, di Kuala Krai Adun Guchil Hilmi Abdullah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam operasi menghantar pulang penduduk Kampung Bahagia yang terkandas di bandar Kuala Krai.

“Penduduk terbabit datang ke Bandar Kuala Krai bagi memenuhi undangan kenduri kawin semalam tetapi terkandas akibat air sungai besar.

“Peningkatan paras air sungai secara mendadak menyebabkan operasi bot galah di Sungai Kelantan ke Kampung Bahagia dan Mambong dihentikan.

“Terima kasih kepada PDRM kerana sudi menyediakan life jacket dan mengiringi semua penumpang sehingga selamat sampai ke destinasi,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat dijangka berterusan di Kelantan yang meliputi jajahan Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Hujan lebat dijangka turun sehingga esok juga berlaku di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Di Terengganu hujan lebat meliputi daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.

Hujan lebat dijangka berterusan di Dungun dan Kemaman, Segamat, Mersing dan Kota Tinggi sehingga Sabtu ini. – HARAKAHDAILY 6/1/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -