PAS P. Pinang komited perkasa ummah, siap siaga PRU15

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Ahli PAS di semua peringkat mesti terus memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN), demikian seru Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.

Menurutnya, tertegaknya PN adalah diasaskan dari persepakatan bersama parti-parti bercitra Melayu-Islam serta Bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak dalam memberi sinar baharu setelah 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Katanya, PAS menjadi pelopor MN hingga memeterai piagam yang menjadi tunjang kepada penyatuan ummah di negara ini, namun peringatnya gerak kerja siyasah, dakwah dan tarbiyah mesti terus dilangsungkan serentak.

“Demi untuk meninggikan kalimah Allah dan memenangkan Islam dengan membawa dakwah kepada seluruh umat manusia. Dan pentingnya tarbiyah perlu diamalkan ahli dan abnaul harakah agar melahirkan pimpinan yang akan meneruskan perjuangan,” ujarnya.

Beliau berucap membangunkan motivasi ahli-ahli dan pimpinan PAS Kawasan Permatang Pauh pada Liqa’ Fikri PAS Permatang Pauh di Dewan Haji Yusof Rawa, Samagagah, di sini kelmarin.

Peringatan seumpama turut diungkapkan beliau supaya bersiap menghadapi PRU15 semasa Majlis Pelancaran Jawatankuasa Operasi Pilihan Raya PAS Parlimen Balik Pulau di Pejabat PAS Kawasan Balik Pulau, Balik Pulau, semalam.

Tegas beliau, PRU15 amat penting setelah negara menghadapi situasi amat mencemaskan dan tidak menetu pasca PRU14 di bawah pemerintahan 22 bulan PH yang mencetuskan perubahan dan kebangkitan rakyat.

Akhirnya ujar beliau, satu perubahan politik berlaku di mana gabungan MN telah menyebabkan Kerajaan Persekutuan diterajui PH jatuh setelah kegagalan pemerintahan dan digantikan PN yang mesti dipertahan dan diperkasakan.

Beliau menyeru Jentera Pilihan Raya DUN (JPrD) dan semua Unit Daerah Mengundi (UDM) bergerak semaksimum mungkin untuk bersaing dalam PRU15 pada bila-bila masa dengan menempuh norma baharu.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS Pulau Pinang, Bukhori Ghazali mengingatkan anggota jentera agar meningkatkan keyakinan kepada Allah dan meniatkan setiap gerak kerja sebagai ibadah.

Beliau juga menyeru jentera agar komited dan mempunyai kesungguhan tinggi serta kekal istiqamah dalam setiap gerak kerja agar digeruni kawan dan lawan sehingga mencapai kemenangan yang diredhai Allah.

“Jika kita terus beristiqamah dan wala’ serta yakin dengan pimpinan, in sya Allah kemenangan kita pasti akan dicapai kelak,” ujar beliau.

Antara pimpinan PAS Pulau Pinang yang turut bersama adalah Timbalan Pesuruhjaya, Norazman Ishak dan Setiausaha, Iszuree Ibrahim serta Ketua Penerangan, Ir Ahmad Rafaie Dato’ A Rashid.

Juga Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS, Steven Koh dan Pengarah Operasi JPrP Balik Pulau, Hussain Sazlan Md Ghazali. – HARAKAHDAILY 1/1/2021

- Advertisement -