Cemar dan kotor ‘wajah’ Pulau Pinang?

- Advertisement -

BAYAN BARU: Masalah pencemaran dan landskap yang kotor oleh sampah sarap serta tiada penjagaan atau penyelenggaraan bukan isu baharu sebagaimana keadaan dapat dilihat di Sungai Nipah, Kampung Naran, di sini.

- Advertisement -

Atas keprihatinan penduduk dan orang ramai, perkara ini sejak sekian lama telah disuarakan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP sesuai slogan dibawa iaitu ‘Bersih, Hijau, Selamat, Sihat dan Ceria’.

Aktivis masyarakat, Nelson atau dikenali sebagai Burung Ababil berkata, malang sekali hakikat yang terbentang adalah sebaliknya dan menyifatkan kerajaan negeri banyak menipu rakyat dan lebih mesra pemaju.

Menurut beliau, selain sampah dihasilkan, terdapat pihak di negeri ini yang pernah mengimport sampah dengan jumlah kontena sangat banyak di mana perkara itu juga menyumbang keadaan sepertimana hitamnya Sungai Nipah.

Bidasnya, pencemaran dan kerosakan alam sekitar juga terjadi di bawah pentadbiran Kerajaan DAP yang dapat dilihat pada bukit-bukit ditarah serta penjualan tanah dan projek mega tambakan pulau dilakukan.

Sementara Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Pulau Pinang, Steven Koh pula mengingatkan kerajaan negeri agar keadaan Sungai Nipah tidak mengulangi nasib Sungai Kim Kim di Johor.

Pertikainya, adalah pelik apabila kerajaan negeri ‘terlepas pandang’ masalah itu di mana beliau percaya kontraktor pembersihan dilantik telah gagal melaksanakan kerja, sedangkan ia menggunakan wang rakyat untuk urusan itu.

Manakala Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanjong, Anas Soffy Abd Wahid berkata, pencemaran air di situ sudah ditahap 4 atau 5, sedangkan pada 2019 Pulau Pinang menerima RM2.1 bilion peruntukan Pusat untuk penyelenggaraan sungai.

Beliau percaya, sekiranya kerajaan komited terutama bekerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air, Sungai Nipah boleh dikembalikan kejernihannya sebagaimana Sungai Ichat di Pahang. – HARAKAHDAILY 7/11/2020

- Advertisement -