Disangka ‘scammer’, rupanya panggilan bawa tuah

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Panggilan awalnya disangka daripada ‘scammer’ yang bertujuan menipu, rupanya membawa tuah kepada pasangan suami isteri apabila menerima sebentuk cincin emas dari Daftar Pemilih dilakukan.

- Advertisement -

Menurut Norzman Wahab, 45, beliau telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang meminta nombor kad pengenalan isterinya sebagai penjaga penerima baucar ‘Back To School’ (BTS) untuk anaknya.

“Masa terima telefon hari tu, saya ingat ‘scammer’ nak minta salinan kad pengenalan isteri. Saya tak berilah. Saya fobia, (sebab) dua tiga hari sebelumnya ada ‘scammer’ telefon. Jadi saya kena hati-hati,” ujarnya.

Sedangkan ‘scammer’ disangkanya itu adalah Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Beserah Tengah, Mohamad Zaki Mohamad yang mahu menyemak data maklumat bagi tujuan penerimaan baucar BTS tersebut.

Hasil semakan Zaki juga mendapati isteri Norzman iaitu Norhidayah Yakofri, 30 belum mendaftar sebagai pemilih lalu meminta wakil Muslimat, Asmah Awang memujuk Norhidayah setelah usaha melalui telefon itu gagal.

“Saya ambil kesempatan bantu Norhidayah daftar dan manalah tahu mungkin juga ada rezeki dia menangi cabutan bertuah mendapat cincin emas, di samping menambah pemilih tempat saya,” kata Asmah.

Ternyata rezeki buat pasangan itu, apabila diumumkan memenangi cincin tersebut pada keputusan Cabutan Bertuah Jom Daftar Mengundi anjuran Ameerah Kawasan Indera Mahkota secara Facebook Live pada 20 Disember lalu.

“Pada hari ini, cincin telah di sarungkan ke jari saya oleh Ameerah Indera Mahkota yang datang berkunjung ke rumah saya. Saya ucap berbanyak terima kasih atas pemberian hadiah ini dan semoga terus berjaya dengan aktiviti seterusnya,” ujar Norhidayah.

Ketua Ameerah Indera Mahkota, Soleha Shah, berkata program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan di mana diadakan untuk membuka mata semua wanita yang belum mendaftar sebagai pemilih supaya terangsang untuk mendaftar.

“Kita telah mengeluarkan iklan cara mudah untuk mendaftar, selain melalui Pejabat Pos, Pejabat SPR, MySPR Daftar, boleh juga melalui Wakil SPR dengan hanya menghantar salinan kad pengenalan sahaja” katanya lagi.

Selain dari cincin sebagai cabutan bertuah, beberapa hadiah yang lain juga telah diberi kepada tiga orang pemenang berikutnya sehari setelah cabutan tersebut dilaksanakan.

“Ameerah akan terus berkempen daftar pemilih pada masa yang   akan datang dengan pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai pemilih demi kemenangan PRU15 yang akan datang,” katanya penuh semangat. – HARAKAHDAILY 30/12/2020

- Advertisement -