Muslimat PAS Pahang serah sumbangan RM43,000

Bagi tujuan pembangunan Kompleks Pendidikan Saidatina Aisyah

- Advertisement -

TEMERLOH: Muslimat PAS Negeri Pahang telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM43,000 kepada Muslimat PAS Malaysia bagi tujuan pembangunan Kompleks Pendidikan Saidatina Aisyah, baru-baru ini.

Serahan cek dana itu disampaikan Pengarah Akademi Pendidikan Saidatina Aisyah (APSA) Pahang, Ustazah Norzilah Husin kepada Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor dalam pertemuan di sini.

- Advertisement -

Pembinaan fasa pertama kompleks yang dianggarkan menelan belanja RM1 juta ini akan bermula Jun tahun depan setelah urusan berkaitan tanah diselesaikan ditapaknya di Ulu Bernam, Hulu Selangor.

Kompleks ini dihasratkan menjadi pusat pendidikan dan dakwah untuk Muslimat dan wanita Malaysia di mana bakal dilengkapi dewan serbaguna, bilik kuliah, masjid, bilik seminar, pejabat pentadbiran dan asrama.

Kegiatan utama bakal dilangsungkan di kompleks bersifat ‘one stop center’ tersebut antaranya adalah kuliah APSA dan latihan kemahiran wanita, serta pelbagai aktiviti lain termasuk hal ehwal pentadbiran Dewan Muslimat.

Dana kompleks ini telah dilancarkan pembinaannya oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam Muktamar Tahunan Muslimat PAS Malaysia di Kuala Lumpur, September lalu.

Bertitik tolak daripada itu, Dewan Muslimat PAS Pahang bersama APSA Pahang menyahut seruan tersebut dengan mengumpul sumbangan dalam kalangan ahli-ahli Muslimat yang bersama-sama mendukung hasrat menjayakan pembinaan kompleks ini.

Dalam kesempatan pertemuan tersebut, Ustazah Salamiah yang juga Penaung APSA Pahang telah mengingatkan mengenai mendepani cabaran dan ujian keluarga serta kerjaya di sebalik mengejar kejayaan akademik di APSA.

Seru beliau, para pelatih yang terlibat dalam program Pengajian Diploma Eksekutif Naqibat (DEN) perlu membuktikan kelahiran naqibat dengan mempunyai dan menerajui ciri-ciri ‘Alimat, Haraki dan Sufi atau ringkasnya AKIFI.

Pada ketika ini APSA Pahang beroperasi di dua lokasi iaitu Cawangan Kuantan di Taman Guru, Kuantan dan Cawangan Temerloh di Kompleks Tahfiz Al-Qardhawi, Kerdau melibatkan 38 pelatih dan lapan pensyarah.

APSA berorientasikan pentarbiyahan semi-akademik yang asalnya ditubuhkan di bawah Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Malaysia, tetapi kini sebagai satu jabatan khusus untuk ahli Muslimat PAS mengikuti tempoh pengajian selama 6 semester.

Pengajian Jarak Jauh (PJJ) ini bermatlamat melahirkan muslimat berilmu, berjihad, berkorban dan bersama memimpin perubahan dari APSA yang bervisi menjadi institusi pembangun keupayaan kepimpinan muslimah berteras pembudayaan ilmu menurut Islam.

Sumbangan kepada APSA Pahang boleh dibuat menerusi Bank Islam 0606 4010 020899 atas nama Sahabat Aishah Services dan sebarang pertanyaan hubungi 011-1078 5008 (Ustazah Norzilah) atau 013-296 5723 (Nuur Afifah).

Manakala sumbangan bagi pembangunan Kompleks Pendidikan Saidatina Aisyah boleh dibuat menerusi akaun Bank Islam 1404 1010 037673 atas nama Dewan Muslimat PAS Pusat dan sebarang transaksi maklumkan ke 013-960 6242 (Dr Che Faridah). – HARAKAHDAILY 30/12/2020

- Advertisement -