Pengusaha vessel perlu kawal pekerja asing

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengusaha vessel laut dalam C dan C2 perlu memastikan pekerja asing di bawah seliaan mereka mematuhi peraturan ketika berada di daratan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar, Dr Azman Ibrahim berkata, penduduk tempatan sering merungut masalah sosial ekoran kehadiran pekerja asing.

- Advertisement -

Antaranya kata beliau, kejadian mabuk, kecurian dan mengganggu orang lain ketika mereka berada di darat.

“Mereka didapati melanggar undang-undang negara ini. Penduduk tempatan membuat aduan di mana mereka tidak selesa dengan kehadiran nelayan asing.

“Malah difahamkan awak-awak terbabit tiada dokumen pengenalan yang sah,” katanya selepas program Dialog Agensi Penguatkuasaan Bersama Pengusaha Vessel Laut Dalam C Dan C2 di Dewan Akademi Perikanan Malaysia Chendering, semalam.

Oleh itu, Dr Azman berharap pengusaha dan pemilik vessel laut dalam perlu bertindak mengawal perlakuan pekerja mereka dari negara asing ketika berada di daratan.

Menurutnya juga, kerajaan Terengganu sedia mengambil komitmen untuk menangani isu pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang dikatakan membebankan pengusaha bot sekarang.

Masalah serupa juga pernah berlaku di Tok Bali, Kelantan di mana kehadiran awak-awak warga asing mencetus masalah sosial sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 23/12/2020

- Advertisement -