Wajibkan rumah ibadah di perumahan baharu

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Dr Aliakbar Gulasan mencadangkan kepada kerajaan Negeri supaya mewujudkan rumah-rumah ibadah pada setiap kawasan perumahan baharu dan kawasan rekreasi.

- Advertisement -

Katanya, tindakan itu seiring dengan pembangunan yang pesat dan kerajaan sewajarnya tidak harus membelakangi pembangunan berdasarkan konsep ketuhanan, katanya ketika membahas Belanjawan Negeri Sabah 2021 sebelum ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri perlu mewujudkan satu peraturan khusus seperti beberapa buah negeri lain di Semenanjung yang mana setiap perumahan baharu diwajibkan pembinaan rumah ibadah.

Ini bagi memudahkan orang awam, pengguna fasiliti sukan dan pusat rekreasi mencari tempat untuk solat apabila tiba waktunya.

“Apabila waktu bersukan, berbasikal, susah mahu mencari tempat sembahyang, tempat solat di kawasan rumah.

Malah, perumahan baharu dalam kalangan penduduk terpaksa orang Sabah kata ‘berkakai’, untuk mencari sumbangan dan mencari tapak semata-mata untuk mencari tempat ibadah,” ujarnya.

Menurut beliau, sudah sampai masanya kerajaan menetapkan satu peraturan berdasarkan komposisi tertentu yang melibatkan tempat-tempat perumahan baharu, tempat-tempat awam iaitu kemestian membina kemudahan seumpama rumah-rumah ibadah.

Ini merangkumi semua agama sama ada rumah ibadah Islam dan bukan Islam berdasarkan kepada komposisi dan keperluan.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Sabah mencadangkan perkara itu kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah supaya mengambil perhatian yang sewajarnya tanpa dwistandard dan pilih kasih kepada agama dan bangsa yang lain. – HARAKAHDAILY 23/12/2020

- Advertisement -