Pandangan Persatuan Sejarah Kedah tentang polemik air

- Advertisement -

POLEMIK air antara Negeri Kedah dan Pulau Pinang kerap dibincangkan dalam pelbagai media sejak akhir-akhir ini.

Isu ini bertambah panas apabila Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan penemuan galian berharga, termasuk “Rare Earth Element” atau REE di Ulu Muda, bagi menjana hasil baharu kepada Kerajaan Negeri Kedah.

- Advertisement -

Sebagai sebuah negeri berasaskan pertanian, sebahagian besar muka bumi Kedah di kawasan dataran merupakan kawasan sawah padi yang menjadi sumber makanan negara.

Manakala kawasan bukit meliputi kawasan Padang Terap dan Sik merupakan kawasan hutan simpan dan juga kawasan tadahan air bagi tujuan penggunaan domestik negeri-negeri di utara Semenanjung.

Bagi penduduk Kedah, penggunaan air adalah berbayar. Syarikat Air Darul Aman (SADA) membayar caj perawatan air mentah kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bagi setiap meter padu, untuk kegunaan pembekalan air terawat kepada rakyat di Negeri Kedah.

Jika penggunaan air bagi rakyat Kedah pun dibayar, secara moralnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membayar dengan kadar yang sama kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah. Dana ini bertujuan mengekalkan kawasan tadahan air sebagai kawasan tadahan yang sempurna, melalui proses penyenggaraan dan pemuliharaan sepanjang Sungai Muda, serta merancang aktiviti-aktiviti berkaitan bagi tujuan mengekalkan kelestarian sumber air ini.

Jika Pulau Pinang sentiasa mengingatkan Kedah supaya menjaga kawasan Ulu Muda bagi tujuan jaminan sumber air kepada mereka, sewajarnya mereka juga perlu menghargai pengorbanan Kedah, yang telah mewartakan kawasan Ulu Muda sebagai kawasan hutan simpan.

Ini adalah suatu pengorbanan negeri Kedah, yang menyebabkan ia kehilangan sumber hasil kepada kerajaan negeri.

Oleh itu, amatlah jelik, jika pemerintah Pulau Pinang hanya tahu mendesak Kedah supaya menjaga sumber air dan tidak meneroka sumber galian di bumi Kedah, tetapi dalam masa yang sama mereka langsung tidak memberi sumbangan kepada pengurusan sumber air yang mereka perlukan itu.

Dr Ibrahim Bakar
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) – HARAKAHDAILY 23/12/2020

- Advertisement -