PAS-Umno Permatang Pauh mahu menangi semula PRU

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: PAS Kawasan bersama Umno Bahagian bagi Parlimen Permatang Pauh telah bermuafakat menyantuni warga penduduk di sekitar Pasar Awam Pekan Penanti dan Pasar Awam Permatang Pauh, di sini.

Program ini juga bertujuan menyampaikan maklumat semasa menerusi edaran risalah penerangan dan mengeratkan hubungan serta keharmonian masyarakat dengan pemberian buah tangan pengikat silaturahim.

- Advertisement -

Program dipimpin bersama Timbalan Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Amir Hamzah Abdul Hashim dan Ketua Umno Permatang Pauh, Dato’ Mohd Zaidi Mohd Said ini bersama jawatankuasa kedua-dua parti, kelmarin dahulu.

Selain bertanya khabar dengan para penduduk yang membeli keperluan di kedua-dua premis tersebut, rombongan juga menyelami khabar kebajikan para peniaga menempuh cabaran jualan di era pandemik COVID-19.

Menurut Amir Hamzah, PAS sentiasa istiqamah dalam memperkukuh hubungan dengan Umno sebagaimana termeterainya Muafakat Nasional yang semakin diterima dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam terutamanya.

Diminta mengulas situasi politik yang berlaku di negeri jiran, Perak, beliau menyifatkan perkara seumpama itu adalah kocakan kecil di dalam cawan ke arah mematangkan lagi hubungan antara parti-parti bekerjasama itu.

“Muafakat Nasional akan terus fokus mengukuhkan perpaduan dalam berhadapan Pakatan Harapan dan DAP untuk meraih kemenangan semula Permatang Pauh pada PRU15 akan datang demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/12/2020

- Advertisement -