Kelas Asas Taranum ‘online’ semarakkan al-Quran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi, (LKKR) Muslimat PAS Malaysia telah menganjurkan kelas seni asas taranum Al-Quran secara dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet kepada Muslimat seluruh negara.

Pengerusi LKKR Muslimat PAS Malaysia, Mardhiah Hayati Zolkeplai berkata, kelas yang tamat pada hujung November sejak bermula pada bulan Julai lalu itu telah diikuti lebih kurang 40 peserta pelbagai peringkat umur.

- Advertisement -

“Alhamdulillah kelas ini telah selesai dengan peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, peserta paling muda berusia 9 dan 12 tahun, manakala yang lain berusia sekitar 20 hingga 66 tahun.

“Sebanyak enam lagu melalui Surah Al-Jumu’ah telah diajar oleh Ustazah Nur Afifah Zaki iaitu Bayyati, Hijjaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Soba. Beliau juga merupakan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Marang 2019,” perkenalnya.

Jelasnya lagi, LKKR mengambil inisiatif menganjurkan kelas ini bagi menyemarakkan lagi pembudayaan Al-Quran dalam kalangan Muslimat di samping memberikan peluang kepada mereka untuk mempelajari seni asas ini secara berguru.

Kelas yang dijalankan secara berkala itu turut mendapat maklum balas positif daripada pimpinan Muslimat PAS Malaysia yang menjadi pelajar kelas ini antaranya, Timbalan Ketua, Dr. Rosni Adam dan Pengerusi Lajnah NGO, Kartini Ahmad serta Ketua Muslimat PAS Negeri Sembilan, Fazilah Abu Samah.

Di samping itu, Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga pernah turut menyertai kelas taranum dan sempat mengalunkan beberapa harakat tausyih taranum Hijaz. – HARAKAHDAILY 16/12/2020

- Advertisement -