Khatan dalam pilihan moden dan alami

- Advertisement -

TERKADANG nak gelak pun ada apabila balas membalas komen dalam media sosial. Dalam dunia siber yang terbuka ini, pelbagai sumber boleh hanya dicopy paste. Boleh belajar dari YouTube kemudian berlagak lebih pandai dari doktor yang sudah bertahun buat kerja seni kedoktoran itu. 

Satu hari pernah seorang mak cik yang berbalas Facebook dengan saya pasal kaedah berkhatan anak lelaki. Beliau menegur saya kerana saya menggunakan teknik Dorsal Slit semasa berkhatan. Kaedah inilah yang saya belajar dan saya amat mahir bab ini. 

Lantas dia paste satu klip YouTube mengenai berkhatan secara fitrah. Kau orang lihat sendiri-lah YouTube itu, segan pula nak upload video dalam status posting ini. [1] Katanya inilah yang sepatutnya dilakukan oleh doktor seluruh dunia. Kembali menggunakan kaedah fitrah iaitu pancung (Guillotine Method). Ianya juga adalah alami, tanpa bius, cepat dan tidak terlalu menyeksakan kanak-kanak. Kanak-kanak pun boleh berada di posisi apa yang dia kehendaki termasuk upright position dan bernafas secara bebas. Ini adalah pilihan mereka dan hak mereka untuk berada dalam keadaan itu. Dipenuhi dengan rahmat Allah kerana mendekati kaedah sunnah. 

- Advertisement -

Beliau juga menempelak saya kerana belajar berkhatan dari buku orang Inggeris dan kaedah itu berasal dari Yahudi. Lalu diletakkan beberapa lagi link yang menyokong kaedah pancung. Kononnya juga disokong oleh pengamal-pengamal khatan. 

Saya balas; saya bersetuju dengan kaedah Guillotine itu, memang cepat, zass sahaja pancung dengan syarat pisau tajam dan dilakukan oleh orang betul-betul berpengalaman. 

Belum sempat saya tulis panjang, beliau terus mencelah dengan memuji saya kerana bersetuju dengan kaedah alami ini. Itulah fitrah kejadian manusia katanya sesuai dengan zaman Salafussoleh yang hanya menggunakan kaedah pancung. 

Sebenarnya saya nak tulis lanjut bahawa saya tak setuju dengan ajaran yang ditunjukkan dalam link YouTube itu. Walaupun Guillotine itu salah satu kaedah yang juga dibuat dalam premis kesihatan (bagi kes-kes tertentu Guillotine Method ini dibuat oleh pakar), tetapi saya akan menentang perbuatan pancung dalam YouTube tersebut. Sudah pasti kaedah pancung itu banyak menimbul komplikasinya. Saya pun lancarkan hashtag Say No To UnSafe Circumcision.

Tidak selamat bermaksud dilakukan oleh tangan-tangan yang tidak mengenal apakah emergency dan risiko yang boleh berlaku. Jika sekadar buat dan try and error, ramailah yang boleh. Tetapi menilai tahap pesakit, memeriksanya dan memberikan rawatan terbaik dengan segala prasarana yang ada, amat penting. Lagipun dalam YouTube tersebut juga sebut dengan jelas bahawa kaedah pancung itu telah menyebabkan kadar kematian tinggi, jangkitan kuman dan kancing gigi. Saya tak pasti mak cik itu faham atau tidak narration yang diberikan dalam video!

Saya nyatakan dengan tepat definsi khatan yang selamat dan bawakan beberapa rujukan fakta untuk dibaca. Tetapi beliau ketegak juga dengan fixed minded dia. Bukan itu sahaja, dituduh doktor itu sesat kerana taksub dengan kajian-kajian Evidence Based Medicine serta melawan kehendak tuhan. 

Kemudian beliau komen pula isu guna ubat bius Lignocaine. Katanya melalui carian Google dan perbincangan bilik sebelah (mungkin Facebook page yang bincang bab perubatan tanpa ubat atau seumpamanya), ubat bius tersebut ada kesan sampingan advers seperti bengkak, naik ruam, sakit dan banyak lagi. Malah dalam product insert Lignocaine itu pun sebut kesan serius boleh timbul seperti pengsan, sawan dan mati. Beliau juga tuduh doktor yang mengkhatankan anak sulung hari itu tak pernah terangkan secara lengkap isu-isu kesan negatif itu. 

Saya terangkan elok-elok berkaitan kepentingan maklum kesan ubat bius. Sesuatu yang jarang berlaku walaupun dinyatakan dalam product insert, tidak perlulah ambil masa panjang. Cukuplah sekadar disebut jika apa-apa kesan sampingan yang biasa berlaku dan jika berlaku kejadian kelainan kepada anak, silalah datang semula segera ke klinik. Serahkan pada ahli perubatan untuk uruskannya.

Bukannya bertanya dalam Google atau Facebook. Kita pun ada sistem pelaporan kesan adverse yang dijalankan bagi menjamin mutu setiap ubat. Jika setiap pesakit nak beri kaunseling panjang lebar, habis masa sejam dekat situ. Sedangkan pesakit lain ramai lagi menunggu untuk dikhatankan. Sepatutnya program khatan dibuat separuh hari, jadi dua hari!

Tapi, dibalas pula komen beliau dengan menuduh doktor moden semua tak guna. Selalu susahkan orang. Berkiblatkan Yahudi dan belajar Sekular. Perubatan alami adalah terbaik katanya kerana tiada campuran bahan kimia.

 Saya boring jika berhujah begitu dengan mak cik ini, i rest my case. Tiba-tiba mencelah mak cik bawang lain, mendoakan saya supaya rest in peace. Lawak juga dengan gelagat lagu ini. Tiba-tiba pula timbul suami dia yang mungkin stalk saya sejak sekian lama, menasihati isterinya yang sudah hampir ‘meroyan’ itu supaya bersabar. Dituduhnya saya masih belum diberi hidayah Allah untuk berada di atas jalan fitrah yang mereka perjuangkan. Astaghfirullah. 

“Saya doktor ke mak cik dan pakcik doktor?” Komen dalam hati saya. Nak bersunat ke tak nak?

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 16/12/2020

[1] Fitrah Khatan. https://youtu.be/fsGutO7IPh8

P/s-Anggapkan sketsa ini rekaan dan tamsilan

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -