Berakhir sudah wayang Pakatan Harapan di Parlimen

- Advertisement -

111 vs 108! Berakhir sudah ‘sejuk-panas’ Dewan Rakyat dalam memutuskan Belanjawan 2021, dari Peringkat Dasar pada 26 November 2020, hinggalah Peringkat Jawatankuasa 27 Kementerian yang bermula 30 November 2020. Semuanya diluluskan oleh Dewan Rakyat, 9 daripada 27 Kementerian lulus menerusi undi belah bahagian.

Sepanjang proses ini, saya menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri apa yang berlaku, melihat bagaimana MP pembangkang memainkan ‘falsafah’ mereka iaitu, ‘Consistently Inconsistent’. Hari ini, Rang Undang-undang Perbekalan untuk bacaan kali ketiga juga diluluskan Dewan Rakyat, menerusi undian belah bahagian, 111 vs 108.

Semasa memutuskan Belanjawan 2021 pada bacaan kali kedua, pihak pembangkang gagal memperolehi kuorum 15 orang Ahli Parlimen untuk mengadakan undian belah bahagian dan lantaran itu mereka telah dikritik hebat kerana cakap tak serupa bikin.

- Advertisement -

Selepas menginsafi kesilapan tersebut, pihak pembangkang mengubah skripnya serta-merta mengusulkan undian belah bahagian di peringkat Jawatankuasa dan pada bacaan kali ke-3.

Kita semua tahu bahawa pembangkang mahukan kuasa pemerintahan, sejak Kerajaan PH tumbang pada 24 Februari 2020 susulan peletakan jawatan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (PM). Sebelum itu YDP Agong sudah beri nasihat tapi Tun tetap mahu letak jawatan.

Rakyat juga pasti tidak akan lupa bagaimana negara terkesan akibat krisis politik berpanjangan yang merugikan. Sejak PH ambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mei 2018, mereka asyik sibuk dengan peralihan kuasa PM sehingga mengabaikan kepentingan rakyat, bahkan janji-janji Manifesto PRU14 mereka tidak dikotakan, hanya tinggal janji.

Apabila PH mencetuskan konflik politik yang menjejaskan kestabilan negara, BN, PAS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mahu PRU diadakan pada ketika itu, sehari selepas Tun Mahathir letak jawatan PM. Tapi kami akur dengan kebijaksanaan YDP Agong iaitu memilih seorang Ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi PM tanpa melalui pilihan raya. 

Kebijaksanaan Baginda dalam membuat keputusan adalah langkah tepat, lebih-lebih lagi dalam keadaan kita berdepan musuh yang tak nampak iaitu pandemik COVID-19. Lihat apa yang berlaku di Sabah apabila PRN diadakan selepas Ketua Menterinya pada ketika itu memohon pembubaran DUN Sabah bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

Justeru itu, tidak sepatutnya timbul untuk diadakan pilihan raya pada waktu sekarang. Percayalah, tiada siapa mahu kerajaan yang tidak stabil. Tapi kita perlu berpijak di bumi nyata, hidup dalam realiti, COVID-19 tidak boleh dipandang ringan dan keselamatan rakyat patut diletakkan pada tempat tertinggi. Inilah yang sedang dilakukan oleh kerajaan hari ini.

Sabarlah, bila sampai masanya nanti sudah tentu PRU15 akan diadakan. 

YB DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan – HARAKAHDAILY 15/12/2020

- Advertisement -