Tolak ansur mampu atasi kemelut politik

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Setiap masalah yang berlaku membabitkan kemelut politik di negara ini mampu diselesaikan dengan baik apabila semua pihak mengamalkan sikap bertolak ansur.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, begitu juga apa yang berlaku di Perak, ia mampu diselesaikan dengan baik.

Katanya, pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu, Dato’ Saarani Mohamad diharap mampu memberi kelegaan kepada rakyat di negeri berkenaan.

- Advertisement -

“Dengan pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu hari ini dianggap selesai segala masalah yang berlaku sebelum ini selesai.

“Muafakat semua pihak nescaya setiap masalah dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis, hari ini.

Hari ini, Saarani dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak.

Mereka mengangkat sumpah menerima jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, hari ini.

Pada Jumaat lepas kemelut politik bermula di Perak apabila usul undi percaya terhadap bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti.

Usul tersebut dibentang Ahli Parlimen Pengkalan Bharu, Dato’ Abdul Manaf Hashim pada persidangan tersebut.

Seramai 10 ADUN termasuk tiga dari PAS menyokong usul, bagaimanapun 48 lagi membantah dan seorang berkecuali.

Usul yang dibuat secara undi belah bahagian itu ditetapkan Speaker Dato’ Mohamad Zahir Abdul Khalid. – HARAKAHDAILY 10/12/2020

- Advertisement -