Wakaf Air persediaan jika hadapi krisis air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek Wakaf Air (Tabung Wakaf Air Nasional) yang diperkenalkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) adalah usaha untuk menghidupkan amalan kelestarian dalam kalangan masyarakat, terutama apabila negara menghadapi krisis kekurangan bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna SPAN, Shahir Adnan berkata inisiatif ini selari dengan hasrat Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi pengiktirafan terhadap kepentingan mendapatkan bekalan air bersih untuk sumber minuman dan sanitasi sebagai hak asasi sejagat, untuk membekalkan air bersih, selamat dan mampu-milik untuk semua.

“Projek Wakaf Air bertujuan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat, sama ada individu, syarikat swasta atau mana-mana pihak yang ingin bersama-sama menyumbang dalam pengurusan infrastruktur bekalan air kepada rakyat.

- Advertisement -

“Sumbangan mengikut kemampuan masing-masing dan memberi peluang kepada seluruh rakyat untuk berbakti kepada masyarakat dan sebagai orang Islam, ia dapat dijadikan saham akhirat kepada penderma.

“Ciri utama Wakaf Air ialah menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai daripada individu atau syarikat dengan niat untuk mewakafkan air, mengurus sumbangan dana berdasarkan ruang lingkup yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Shahir, sumbangan Wakaf Air ini diuruskan oleh pihak bertanggungjawab iaitu Yayasan Wakaf Malaysia dan digunakan dengan tujuan yang jelas, iaitu pengurusan bekalan air, terutama di luar bandar.

“Ia berbeza dengan Tabung Harapan yang ditubuhkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tanpa pelaksanaan yang jelas.

“Pelaksanaan Wakaf Air akan melibatkan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan keperluan bekalan air terawat dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Tambahnya, projek ini akan diagihkan kepada golongan sasar terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam kerana konsep wakaf adalah bersifat manfaat umum dan boleh dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama.

Malahan, wakaf adalah lambang keindahan Islam dan lambang perpaduan antara kaum di Malaysia melalui konsep Bangsa Malaysia.

Justeru, katanya apabila bekalan air disalurkan di sesuatu kawasan melalui projek ini, penduduk setempat tanpa mengira bangsa dan agama dapat menikmati anugerah air tersebut. – HARAKAHDAILY 10/12/2020

- Advertisement -