Wanita menyamar ‘inspektor’ ditahan polis

- Advertisement -

BACHOK: Seorang wanita berumur 20 tahun ditahan polis kerana dianggap menyamar sebagai seorang ‘inspektor’ di Kampung Bukit Bator, dekat sini.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, wanita berkenaan yang berasal dari Sabah memiliki pakaian seragam polis yang disangkut dalam kereta Myvi untuk menyakinkan orang ramai.

Katanya, ketika ditahan Selasa lepas, wanita berkenaan menumpang di sebuah rumah seorang lelaki yang dikenali di media sosial di kampung berkenaan.

- Advertisement -

“Keluarga lelaki berkenaan membuat aduan polis selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena terutama wanita berkenaan tidak bekerja sebagai seorang inspektor sebagaimana yang didakwa.

“Sebelum itu, wanita berkenaan dipercayai merupakan seorang penganggur yang menjalani kuarantin Covid- 19 selama 14 hari di Kelantan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Muhammad Piah.

Shafien juga berkata, pihaknya memandang serius kes berkenaan kerana ia boleh menjatuhkan imej pasukan polis.

Menurutnya juga, kes tersebut merupakan kali kedua wanita berkenaan melakukan kesalahan yang sama pada 2017 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Kata beliau, suspek ditahan reman selama lima hari bermula Selasa lepas sehingga disiasat di bawah Seksyen 170 KK/89© Akta Polis 1967.

Manakala dalam perkembangan lain beliau berkata, polis menahan seorang pengetua sebuah Sekolah Menengah Agama di Machang dipercayai terbabit merogol seorang murid berumur 15 tahun.

“Polis menerima aduan daripada keluarga mangsa dan menahan suspek awal pagi tadi di rumahnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 10/12/2020

- Advertisement -