Petani rugi sawah ditenggelami air

- Advertisement -

KANGAR: Disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, sawah yang menunggu hari untuk dituai rosak akibat ditelenggami air.

Dianggarkan sawah seluas 1,000 hektar yang diusahakan mereka tenggelam setiap kali hujan lebat menyebabkan mereka mengalami kerugian hampir RM2 juta.

Adu mereka, masalah itu berpunca daripada sekatan yang dibina di Sungai Pengkalan Asam yang menyebabkan beberapa sungai sekitar Arau terkesan sehingga berlaku limpahan air ke sawah setiap kali hujan lebat.

- Advertisement -

Sawah dikatakan tenggelam hingga paras pinggang.

Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Kampung Teluk, Gobak, Alor Banat, Bakong, Banat dan Jawi Bakong.

Seorang petani dari Kampung Teluk, Salleh Chin, 58, berkata, setiap kali sawah tenggelam ia mengambil masa lebih 10 hari untuk surut kembali.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pokok padi yang diusahakan rosak.

“Dalam tempoh tiga bulan sudah enam kali sawah kami ditenggelami air. Kawasan bendang tenggelam sehingga ke paras pinggang.

“Saya mengalami kerugian lebih RM20,000 berikutan masalah tersebut kerana terpaksa menanam padi baharu pula,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Shahidan Baharom, 58, dari Lomboh, Arau berkata, beliau mengalami kerugian hampir 50 peratus akibat masalah tersebut.

“Saya mengusahakan padi di kawasan seluas 15 hektar, tetapi hampir separuh hasil tanian saya rosak,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan melalui Belanjawan 2021 memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan peruntukan RM80 juta untuk tabung bencana pertanian, termasuk bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil.

Bantuan itu akan memanfaatkan petani terdiri daripada pesawah, nelayan, pengusaha akuakultur, pekebun dan penternak yang mengalami kehilangan pengeluaran hasil dengan bayaran RM300 sebulan akan diteruskan tahun depan yang akan memanfaatkan 300,000 pekebun kecil seluruh negara.

Bayaran itu akan dibuat bermula Disember tahun ini, Januari serta Disember tahun depan. – HARAKAHDAILY 10/12/2020

- Advertisement -