Isu TH: Ummah sokong tindakan kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyokong tindakan Kerajaan untuk mengusahakan semula ladang kelapa sawit milik Tabung Haji Plantation Berhad (THP) daripada menjualnya kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco).

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata kepada HarakahDaily hari ini, keputusan itu diambil berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor selain untuk diteliti dengan lebih lanjut.

Keputusan itu katanya amat penting dan tepat bagi menjaga aset dan hartanah pelaburan TH Plantations yang bernilai tinggi.

- Advertisement -

Tambah beliau, dalam usaha untuk memajukan tanah perladangan itu, viability pelaburan ladang sawit perlu ditingkatkan dengan pengurusan yang lebih baik dan cekap di samping peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran global.

Katanya, aset berkenaan akan memberi pulangan lebih baik dalam jangka masa panjang sekiranya diurus dengan baik dan berfokus, sekali gus mampu memanfaatkan TH.

“Jabatan Penilaian Harta Kerajaan menilaikan aset ini berjumlah RM224 juta, berbanding harga jualan RM170 juta dengan keluasan 6,513.2 hektar,” maklumnya.

Dalam pada itu, bagi melancarkan proses penambahbaikan syarikat berkenaan, UMMAH menyarankan agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melantik pasukan pengurusan tertinggi Tabung Haji yang baharu.

Katanya, ekoran pengurusan yang tidak efisyen mengendalikan syarikat tersebut mengakibatkan pelbagai masalah terpaksa dihadapi oleh Kerajaan dan para pendeposit pada ketika ini.

“Keputusan pengurusan tertinggi TH Plantations juga penting bagi memberi fokus dan hala tuju syarikat yang lebih baik bagi sektor tersebut.

“Oleh itu, pemilihan dalam pelantikan pimpinan tertinggi yang baharu amat penting bagi membentuk wawasan yang lebih berdaya saing dan dinamik bagi masa depan sektor perladangan itu,” ujar Mohd Zai.

Kerajaan pada 4 Disember lalu bersetuju untuk menarik balik keputusan menjual anak syarikat TH Plantations Bhd, Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada Tamaco dengan mempertimbangkan situasi semasa serta mengambil kira pelbagai faktor.

Dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, kerajaan bertekad untuk terus memajukan TH Plantations dan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada antarabangsa  – HARAKAHDAILY 10/12/2020

- Advertisement -