UEC tiada dalam syarat ambilan penjawat awam

- Advertisement -

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka tidak pernah mengubah syarat-syarat pekeliling perkhidmatan awam sedia ada, bagi mengambil lepasan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) untuk menyertai perkhidmatan awam negeri.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Melaka Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, kerajaan negeri melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia sehingga kini tidak pernah mengiktiraf sijil berkenaan, bagi pengambilan baharu penjawat awam di negeri itu.

“Apa yang berlaku ketika pentadbiran kerajaan terdahulu (Pakatan Harapan) Yang Amat Berhormat Ketua Menteri ketika itu (Adly Zahari) memaklumkan, bahawa Kerajaan Negeri Melaka membuka peluang untuk menerima individu yang mempunyai UEC.

- Advertisement -

“Bagaimanapun keputusan tersebut (membuka peluang) tamat di situ sahaja, dan tidak pernah dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN), maka kami isytiharkan di dalam dewan mulia ini bahawa isu tersebut ‘tanpa sebarang tindakan lanjut’ dan terjadi akibat daripada ia tergantung begitu sahaja,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Noor Effandi (BERSATU-Telok Mas) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara), berhubung sejauh mana pengiktirafan kelulusan sijil UEC oleh Kerajaan Negeri Melaka diguna pakai, khususnya dalam pengambilan kakitangan Kerajaan Negeri Melaka.
 
Pada 16 Ogos 2018, Bernama melaporkan Persidangan DUN Melaka diberitahu bahawa pengiktirafan sijil UEC oleh Kerajaan Negeri Melaka, hanya melibatkan perjawatan awam negeri dan ia berbeza dengan pengiktirafan peringkat Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Noor Effandi berkata sehingga hari ini, hanya seorang sahaja penjawat awam di negeri itu yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka menggunakan kelulusan sijil UEC pada 2018, namun perkhidmatannya telah tamat pada April lepas.

“Selepas itu tiada lagi penjawat awam Kerajaan Negeri Melaka dilantik mengunakan kelulusan sijil UEC, kerana pentadbiran kerajaan negeri masih tertakluk kepada peraturan dan pekeliling semasa yang ditetapkan oleh kerajaan pusat, berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 1 Tahun 2016,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar dewan, beliau berkata setakat ini kerajaan negeri tidak pernah menerima langsung sebarang permohonan pekerjaan ke dalam sektor kerajaan negeri Melaka daripada para pemegang sijil UEC, kecuali bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Melaka ketika itu. – BERNAMA

- Advertisement -