PdP Jawi diteruskan di SK, SJK

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) sebagaimana yang diputuskan sebelum ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, keputusan itu dibuat mengikut keputusan Jemaah Menteri pada 14 Ogos tahun lalu yang telah memutuskan supaya tulisan jawi diteruskan di SK dan SJK.

“Inilah keputusan dibuat oleh Jemaah Menteri dan Kabinet KPM. Pada dasarnya kita mengikut arahan diputuskan oleh Jemaah Menteri.

- Advertisement -

“Sebenarnya pengenalan tulisan jawi bukan sebagaimana dimomokkan, kita bukan mengajar pelajar untuk menulis atau membaca, sebaliknya hanya proses pengecaman,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikain bagi menjawab soalan tambahan Sabri Azit [PAS-Jerai] sama ada kerajaan akan meneruskan pembelajaran tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu di SK dan SJK.

Menurut Muslimin, mata pelajaran Pendidikan Islam, mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah masih menggunakan jawi sepenuhnya, termasuk dalam soalan peperiksaan.

Tambahnya, elemen pengukuhan jawi dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti pengayaan seperti membina modul pemulihan Jawi dengan lebih mudah dan menarik untuk murid yang kurang menguasai Jawi.

Jelasnya lagi, KPM yakin bahawa pendekatan yang digunakan setakat ini mampu mengekalkan kesinambungan tulisan jawi pada peringkat sekolah menengah. – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -