Kesepakatan demi rakyat luluskan Belanjawan Johor

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah S.W.T, Belanjawan Johor 2021 telah diluluskan pada 6 Disember 2020 di dalam Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang ke-14.

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (PAS Johor) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Ir. Hj. Hasni bin Hj. Mohammad dengan sokongan sebulat suara daripada kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

PAS Johor juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah ke atas kematangan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri Johor yang membahaskan Belanjawan tersebut secara profesional dan terbuka, dengan menumpukan kepada kebajikan dan kemaslahatan rakyat serta mengenepikan perbezaan pegangan politik masing-masing.

- Advertisement -

PAS Johor juga mengucapkan tahniah kepada ADUN tunggal PAS Johor iaitu Yang Berhormat Kapten (B) Mohd Najib bin Lep, yang telah membawa pandangan dan pendirian PAS Johor berkaitan Belanjawan tersebut melalui ucapan perbahasan beliau di dalam sidang DUN tersebut.

PAS Johor memberikan komitmen untuk terus berada bersama-sama Kerajaan Johor yang sedia ada demi kelangsungan kebajikan dan kepentingan rakyat Johor, sebagaimana yang telah dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan Johor.

USTAZ ABDULLAH HUSIN
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -