Penternak rugi RM80,000 itik dihanyut arus banjir

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan meneliti masalah dihadapi pentenak itik telur di Kampung Banggol Pak Esah, Selising yang kerugian besar ekoran ditenggelami banjir.

Pada kejadian tersebut kelmarin kira kira 4,000 ekor itik didapati mati dan hanyut akibat banjir.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, antara langkah awal yang diambil melakukan sanitasi dan penyediaan vaksin unggas yang diperlukan.

Menurutnya, persediaaan berterusan bagi mengelakkan lebih banyak kematian atau fenomena banjir adalah perlu kerana Monson Timur Laut belum berakhir.

“Saya berhubung dengan JPV bagi membantu memulihkan semula projek ternakan itik telur yang sebelum ini berdaya maju membekalkan telur mentah dan telur masin bagi pasaran domestik.

“Apa pun pengusaha perlu tabah menghadapi kerugian dan ujian sebagai satu pengalaman dalam membangunkan industri penternakan serta projek hiliran,” katanya selepas meninjau ladang ternakan itik telur yang diusahakan Syarikat Rahimah Sinar Resources, Rahimah Mohamed, 62, di sini semalam.

Pengusaha itik telur berkenaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM80,000 apabila 4,000 ekor itik peliharaannya mati dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir sejak 3 Disember lepas.

Rahimah pula berkata, itik telur gagal diselamatkan apabila keadaan air banjir naik secara memdadak dan menyebabkan reban itik turut pecah.

Tuan Saripudin juga berkata, musibah itu bukan sahaja memberi kesan kepada pengusaha tetapi turut melibatkan 16 pekerja termasuk ibu tunggal yang akan hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

“Pusat Khidmat Rakyat Selising akan turut membantu pekerja yang terkesan dengan menyalurkan sumbangan saguhati yang paling tidak membolehkan mereka membeli barangan dapur,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2020

- Advertisement -