REE: Tiada ‘wayang’ konon untuk lakukan pembalakan

Di sebalik penemuan elemen nadir bumi (REE) di Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah hari ini menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa penemuan elemen nadir bumi (REE) itu hanyalah alasan untuk kerajaan negeri menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan terbabit.

- Advertisement -

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata kawasan berkenaan tidak memiliki kayu balak yang boleh ditebang. 

“Semua kawasan di Kedah yang ada kayu balak sudah diluluskan semasa zaman kerajaan lama (Pakatan Harapan) lagi. Di kawasan Ulu Muda sahaja ada 22,000 hektar kawasan sedang dalam proses pelesenan penebangan, jadi tiada kawasan dan tempat untuk saya luluskan lagi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan beberapa pihak yang mengatakan penemuan REE itu hanya ‘wayang’ kerajaan negeri untuk menghalalkan pembalakan di kawasan yang dikatakan terdapat mineral berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi sekali lagi menegaskan bahawa kerja-kerja mengekstrak sumber REE tersebut akan menggunakan teknologi baharu yang tidak melibatkan penebangan pokok seperti aktiviti perlombongan emas, timah dan bauksit.
 
“Kerja-kerja mengekstrak dari bawah tanah ini akan menggunakan kaedah dan teknologi baharu, jadi janganlah buat dakwaan melulu kerana sebatang pokok pun kita tidak akan tebang. Kalau benar ada mineral itu, ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat Kedah,” katanya. 

Rabu lepas, Muhammad Sanusi berkata sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur telah dianugerahkan permit kelulusan bagi meneroka dan mengekstrak sumber mineral jenis REE di negeri itu yang dianggarkan bernilai RM60 bilion.

Terdahulu, Muhammad Sanusi merasmikan Program Kembara Prihatin Negara 2020 Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusof. – BERNAMA

- Advertisement -