Muslimat dan Srikandi perkukuh agenda perpaduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muslimat PAS Wilayah Persekutuan dan Srikandi BERSATU Wilayah Persekutuan telah mengadakan pertemuan perkenalan dan ramah mesra yang dilangsungkan di Pejabat Muslimat PAS Malaysia, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Pertemuan pimpinan tertinggi kedua-dua parti ini dipimpin Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Srikandi BERSATU Wilayah Persekutuan, Zuryati Md Osman.

Menurut Ustazah Nuridah, kedua-dua belah pihak menyambut baik agenda untuk memperteguhkan lagi kerjasama di peringkat Kawasan atau Bahagian di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Perjuangan kita sama, kita mempunyai matlamat yang satu di mana kita akhirnya akan dikembalikan kepada Allah S.W.T. Sebagai umat Islam, kita mesti mahu melihat Islam tertegak, maka kita mesti bersatu dan elakkan perpecahan.

“Antara aktiviti bersama yang boleh dilaksanakan adalah aktiviti kebajikan dan juga aktiviti kerohanian seperti Munajat AKIFI yang sering dijalankan secara berkala.

“Sebagai permulaan juga, _in sya Allah_ kita akan cuba mengadakan aktiviti pengisian yang berkisar mengenai Al-Fatihah Panduan Hidup Mukmin,” ujar Ustazah Nuridah yang juga Ketua Muslimat PAS Malaysia.

Zuryati juga turut optimis dengan kerjasama antara kedua-dua belah pihak dan sangat menyokong ajakan pihak Muslimat PAS untuk terlibat sama dalam aktiviti-aktiviti kerohanian.

Harapnya, ia agar lebih ramai faham bahawa keterlibatan dalam politik bukan hanya untuk berpolitik semata tetapi mesti ada nilai Islam yang perlu diamalkan.

Turut hadir bersama dalam pertemuan tersebut adalah Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Bahagian Batu, Marlia Osman dan Setiausaha Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Mardhiyah Hayati Zolkeplai. – HARAKAHDAILY 6/12/2020

- Advertisement -