TELUK INTAN: PAS dan BERSATU Parlimen Teluk Intan telah mengadakan program bersama menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Gloster, Batu 6 Changkat Jong, di sini petang kelmarin.
Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ismail Che Nik bersama Ketua Armada BERSATU Bahagian Teluk Intan, Muhammad Faizol Ismail telah bersama mengetuai inisiatif membantu penduduk terjejas.
Lebih 30 rumah yang sebahagian besarnya penduduk kaum India telah diziarahi di mana sumbangan disampaikan berupa kotak makanan dari Pejabat Menteri Besar Perak dan selebihnya adalah barangan dapur dari Lajnah Kebajikan PAS Teluk Intan.
Ketua Serikandi BERSATU Teluk Intan, Hirdawati Mat Imran menghargai kerjasama kedua pihak menjayakan misi menyantuni dan memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Changkat Jong itu.
Program bersama ini merupakan kali ketiga di mana sebelum ini turut bekerjasama menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terkesan akibat banjir di sekitar Batu 7 1/2 dan Batu 9 Changkat Jong.
Ahli Majlis Perbandaran dari PAS Hamisah Abas pula berkata aktiviti turun padang antara PAS dan BERSATU untuk bertemu masyarakat tempatan sewajarnya dipergiatkan lagi dan mendekatkan mereka kepada Kerajaan Perikatan Nasional.
Antara pimpinan PAS Teluk Inran yang turut hadir adalah Timbalan dan Naib Yang DiPertua, Rostam Malik dan Azhar Rafie serta Ketua Pemuda, Firdaus Ziyaudin dan Ketua Muslimat, Robi’atun Mohd Abas.
Manakala dari BERSATU yang hadir ialah Timbalan Ketua, Kamaruddin Majid dan Naib Ketua, Roslan Mohd Salim. – HARAKAHDAILY 6/12/2020
