Nadma kaji PPE petugas ‘frontliners’ di musim banjir

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA : Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan membuat penilaian semula terhadap pakaian perlindungan peribadi (PPE) yang digunakan petugas barisan hadapan ketika musim banjir.

Ketua Pengarah Nadma, Dato’ Dr. Aminuddin Hassim berkata, masalah itu dikemukakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Nazran Muhammad pada pertemuan pagi tadi.

- Advertisement -

Beliau berkata faktor keselamatan barisan hadapan amat diutamakan khususnya ketika berhadapan dengan dua bencana berlaku sekali gus iaitu banjir dan penularan wabak Covid-19.

“Kita akan bincang sebab selepas ini kita akan ke Terengganu dan Pahang, di sana kita hendak buat penilaian semula perkara ini setelah selesai gelombang pertama.

“Petugas kita di barisan hadapan bertugas dalam keadaan hujan menyebabkan PPE basah dan tidak selesa dipakai, mungkin salah satu cara pakaian pelindung muka,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau dan mendengar taklimat mengenai Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Taman Kemuming di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal; Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Siti Nor Hasma Mat Isa.

Terdahulu beliau meninjau simpanan bahan makanan serte kelengkapan diri lain yang disimpan di DSKB sebagai persediaan menghadapi bencana banjir dan penularan Covid-19.

Aminuddin berkata pihaknya turut meminta semua barisan hadapan mematuhi Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan Covid-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mangsa Bencana.

Beliau menyifatkan tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar bagi petugas di barisan hadapan kerana terpaksa berhadapan dengan situasi ‘bencana dalam bencana’. – HARAKAHDAILY 6/12/2020

- Advertisement -