Petronas dan Sarawak selesai isu cukai jualan

- Advertisement -

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas akan menandatangani satu penyelesaian komersial berkaitan cukai jualan negeri dan undang-undang perlombongan minyak pada 7 Disember, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Penasihat Negeri yang dipengerusikan olehnya, telah diberikan taklimat berkaitan penyelesaian komersial oleh wakil dari kerajaan negeri, melibatkan perundingan dengan Petronas.

Jawatankuasa Penasihat pada mesyuaratnya hari ini dimaklumkan mengenai skop dan perkara penting dan terma penyelesaian komersial dan faedah signifikan dan kelebihan yang kerajaan negeri akan terima daripada perjanjian tersebut. Maklumat mengenai perjanjian penyelesaian komersial itu (akan) diberikan selepas ia ditandatangani secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, majlis menandatangani perjanjian itu akan diadakan di Kuala Lumpur di mana Sarawak akan diwakili Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, manakala Petronas oleh Pengerusinya Tan Sri Ahmad Nizam Salleh.

Majlis itu dijangka akan disaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama kumpulan perundingan daripada kedua-dua pihak.
 
Mohd Asfia berkata, terma penyelesaian komersial yang berkaitan dengan mengenakan cukai jualan negeri dan keputusan Sarawak untuk mengawal selia perlombongan minyak di negeri itu di bawah undang-undangnya telah dipersetujui, selepas perbincangan menyeluruh antara Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan dan Petronas.

Beliau berkata, ketiga-tiga pihak bersetuju pada Mei tahun ini untuk isu itu diselesaikan tanpa melalui proses perundangan, yang menyaksikan tindakan perundangan yang diambil Petronas dan Kerajaan Negeri ditarik balik Ogos lepas.

“Kerajaan Persekutuan menubuhkan Jawatankuasa Bersama diketuai Menteri Kanan Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) dan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) bagi membantu perbincangan antara Petronas dan Sarawak,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -