Pusat Khidmat pantau kebajikan mangsa banjir

Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin melawat mangsa banjir di PPS SK Tok Jembal dan SK Kompleks Seberang Takir
- Advertisement -

KUALA NERUS: Semua mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kuala Nerus diminta mendaftar bagi memudahkan urusan bantuan disalurkan.

Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa banjir di Kuala Nerus.

Menurutnya, sehingga sekarang terdapat dua Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang baharu dibuka iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan SK Kompleks Seberang Takir.

- Advertisement -

“Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus akan memantau keadaan semasa mangsa banjir di PPS SK Tok Jembal dan SK Kompleks Seberang Takir.

“Kami memastikan kebajikan warga penduduk Kuala Nerus sentiasa dijaga. Mangsa banjir hendaklah mendaftar di PPS supaya memudahkan mereka mendapat bantuan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di PPS SK Tok Jembal dan SK Kompleks Seberang Takir, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Kapten (PA) Zahidi Zainudin.

Sementara itu, Kapten (PA) Zahidi berkata, sehingga jam 10 pagi tadi dua PPS dibuka di daerah Kuala Nerus yang melibatkan seramai 120 mangsa dari 23 keluarga.

Menurut beliau juga, julat hujan yang turun tengah malam tadi antara enam hingga lapan jam direkodkan sebanyak 190 milimeter. – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -