Kuala Terengganu dilanda banjir kilat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketika sukarelawan PAS dan Jabatan Amal giat mengatur kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kemaman, tiba-tiba banjir kilat melanda Kuala Terengganu.

Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila fenomena air laut pasang dan hujan lebat dalam tempoh lapan jam, menenggelamkan sekitar bandaraya Kuala Terengganu, semalam.

Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, hujan lebat luar jangka turun sejak petang semalam mengakibatkan banjir kilat berlaku.

Katanya, pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri di Jalan Sultan Omar turut dinaiki air hingga mencecah hampir satu kaki.

- Advertisement -

“Ini tidak berlaku jika hujan biasa, mungkin hujan luar biasa yang lebat hingga air masuk ke pejabat PAS sehingga menenggelamkan karpet.

“Kita terpaksa kerah Pemuda PAS dan sukarelawan Jabatan Amal membersihkan Pejabat PAS Terengganu,” ujarnya ketika meninjau kerja-kerja pembersihan itu, hari ini.

Menurutnya, beberapa daerah di negeri itu dilanda banjir dan kerja-kerja pembersihan kesan banjir di kawasan yang surut giat dilakukan.

Setiausaha PAS Kuala Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said juga menyifatkan banjir kilat itu berlaku kerana hujan terlalu lebat di luar jangkaan.

Katanya, Jalan utama di Kuala Ibai, hadapan masjid Tengku Tengah Zaharah terpaksa ditutup tengah malam semalam kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air. – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -