Penggunaan bitumen terubah suai getah akan diperluaskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penggunaan bitumen terubah suai getah bekuan akan diperluas ke rangkaian Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usaha itu mampu meningkatkan pendapatan 500,000 pekebun kecil getah negara.

Katanya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM7.2 juta di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan bitumen terubah suai getah bekuan Cuplump Modified Bitumen (CMB) ini.

“Dalam pasaran serantau seperti Thailand telah meningkatkan penggunaan getah tempatan mereka untuk pembinaan jalan raya dengan tujuan yang sama membantu pekebun kecil getah bagi menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan mereka.

- Advertisement -

“Bagi merealisasikan projek terbabit, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk memperbanyakkan turapan jalan raya mengunakan teknologi CMB dan siap sepenuhnya pada Mei 2020 yang merangkumi jalan raya sepanjang 202.68 kilometer di 106 lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 18 Januari 2017, Kabinet telah dimaklumkan hasil kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bahawa hasil kajian mengenai penggunaan getah bekuan dalam bitumen dapat meningkatkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen.

Kejayaan itu dihebahkan kepada negara-negara lain bertujuan membantu meningkatkan permintaan terhadap getah asli dan menstabilkan harganya.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata usaha menambah pendapatan pekebun kecil getah diteruskan dan Kabinet pada Jumaat lalu bersetuju dengan cadangan KPPK untuk memperluaskan penggunaan CMB bagi pembinaan dan penyenggaraan jalan raya di seluruh negeri yang didaftarkan dalam MARRIS.

Menurutnya, penggunaan CMB dalam adunan untuk menghasilkan asfalt terubah suai getah bekuan atau Cuplump Modified Asphalt (CMA) dapat menambahkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen melalui ciri-ciri kelikatan serta keanjalannya.

Jelasnya, penambahbaikan ini meningkatkan daya tahan terhadap proses peredaran masa dan rintangan haba.

“Ini memberikan penjimatan terhadap keperluan menyenggara jalan akibat kerosakan seperti aluran, rekahan dan lubang dalam jangka masa panjang.

“Perluasan penggunaan CMB di jalan raya MARRIS seperti yang disyorkan KPPK, dapat mengukuhkan sumber rujukan domestik kejayaan aplikasi teknologi CMB sebelum ia dapat diperluas di peringkat antarabangsa,” ulasnya.

Jelasnya, anggaran penjimatan menyeluruh daripada aspek penyelenggaraan bagi 1,000 kilometer (km) adalah sebanyak RM167 juta atau 40 peratus lebih rendah berbanding penggunaan bitumen konvensional, sekiranya jangka hayat jalan CMB menjangkau 10 tahun.

Perluasan penggunaan CMB adalah antara usaha mengurangkan impak kejatuhan harga ke atas pendapatan pekebun kecil getah di negara ini khususnya, berikutan wabak Covid-19 melalui peningkatan permintaan terhadap bekalan getah domestik.

“Menjadi harapan KPPK dengan penggunaan CMB dapat mencapai matlamat berkenaan di samping menggalakkan golongan penoreh getah untuk terus menoreh bagi menjamin pengeluaran bekalan getah secara berterusan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -