Cadangan lanjut usia persaraan penjawat awam ditolak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpendirian bahawa tiada keperluan mendesak kerajaan meningkatkan usia persaraan penjawat awam kepada 65 tahun.

Presidennnya Adnan Mat berkata skim persaraan penjawat awam iaitu 60 tahun pada masa ini dilihat masih munasabah dan relevan.

“Had usia persaraan penjawat awam sudah tiga kali diubah dalam tempoh 20 tahun iaitu 55 kepada 56 tahun pada 2001. Ini diikuti tujuh tahun kemudian daripada 56 kepada 58 tahun (2008) dan 58 kepada 60 tahun pada 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Beliau mengulas cadangan Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad, supaya meneliti semula dasar mengenai had usia persaraan berikutan status negara yang mungkin mempunyai masyarakat berusia pada masa akan datang.
 
Mengulas lanjut, Adnan berpandangan sebahagian besar individu dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas kebiasaanya berdepan dengan beberapa kekangan berkaitan pekerjaan termasuk faktor kesihatan selain perlu mengadaptasi teknologi baharu yang semakin canggih.

Beliau berkata ketetapan untuk mengekalkan had usia persaraan perkhidmatan awam juga mengambil kira pelbagai pertimbangan lain termasuk memberi peluang pekerjaan kepada lebih banyak golongan muda yang berkemahiran dan berbakat.

“Kemasukan kakitangan muda sudah pasti sedikit sebanyak menyumbang kepada peremajaan sistem perkhidmatan awam sesuai dengan keadaan semasa,” katanya. 

Dalam pada itu, Adnan juga berharap kerajaan meningkatkan had gaji minimum ke tahap yang lebih baik untuk mengatasi situasi kebimbangan pekerja yang tidak mempunyai pendapatan yang cukup selepas bersara kerana masih lagi perlu membayar pinjaman perumahan.

“Perkara ini berlaku disebabkan harga rumah yang sangat mahal ketika ini selain skim gaji yang rendah, yang memberi kesan kepada simpanan hari tua mereka sama ada memiliki simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau wang pencen yang diterima jika mereka penjawat awam,” katanya. – BERNAMA 

- Advertisement -