SRIDAR An-Nur bakal dibuka Januari 2021

- Advertisement -

BESUT: Sekolah Rendah Islam Darul An-Nur (SRIDAR An-Nur) bakal dibuka bagi memulakan sesi persekolahan tahun 2021 di Kompleks Pendidikan Tahfiz An-Nur, Kampung Alor Belanga, Hulu Besut, di sini Januari depan.

- Advertisement -

Penyelaras Parlimen Besut, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, penubuhan sekolah ini sebagai kesinambungan kepada pendidikan anak-anak khususnya dari PASTI untuk mendapatkan pendidikan Islam yang lengkap bermula usia seawal 7 tahun.

“Kami mewujudkan sekolah ini bagi menyemai kecintaan kepada Islam serta menjadi wadah membina generasi Al-Quran dan pelapis para ulamak dalam menyebarkan syariat Islam. Bangunan tiga tingkat yang menempatkan SRIDAR An-Nur dijangka siap sepenuhnya hujung Disember ini.

“Untuk fasa pertama kami akan membuka dua kelas untuk Tahun 1 dengan 60 pelajar menggunakan sukatan pelajaran SRI Darul Furqan (SRIDAF), Kampung Batu Tumbuh, Kota Putera,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Menurut Dr Riduan, kedudukan SRIDAF yang agak jauh dari Hulu Besut menyukarkan ibu-bapa untuk menghantar anak mereka ke sana, justeru itu beliau mengambil inisiatif membina SRIDAR An-Nur di sini.

“Semoga SRIDAR An-Nur dapat mencetuskan satu fenomena baru dalam pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat khususnya anak-anak di Hulu Besut dan menjadi pilihan tepat untuk mendapat pendidikan berorientasikan Islam yang syumul dan bersepadu,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -