MOSTI kenal pasti lokasi sandbox

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menemui satu lokasi Tanah Rancangan FELDA di Mempaga yang dikenal pasti sebagai sandbox dalam usaha memastikan inisiatif Pertanian Pintar dapat dilaksanakan di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Sandbox merujuk kepada kaedah atau persekitaran baharu yang belum teruji.

- Advertisement -

Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, ia bertujuan untuk melaksanakan ujian lapangan bagi menilai daya maju teknikal, serta kepatuhan piawaian dan peraturan sedia ada.

Katanya, melalui inisiatif Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS), terdapat beberapa aplikasi dan teknologi yang ditawarkan oleh pemula dan penyelidik yang mana disasarkan untuk meningkatkan produktiviti aktiviti peneroka FELDA, sekali gus meningkatkan pendapatan peneroka.

“Sebanyak lima startups (pemula) yang telah dikenal pasti membawa pelbagai aplikasi dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan peneroka FELDA.

“Antara kategori aplikasi dan teknologi adalah seperti dron, robotik, mesin kecerdasan buatan, teknologi rawatan air, teknologi IoT untuk pertanian.

“Kesemua startups ini telah dicadangkan kepada pengurusan FELDA untuk dipilih berdasarkan kepada kesesuaian dan kesediaan infrastruktur FELDA,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Seri Mahdzir Khalid [BN-Padang Terap] berhubung peranan kementerian dalam membantu FELDA bagi memastikan inisiatif Pertanian Pintar di agensi tersebut dapat dilaksanakan.

Menurut Ahmad Amzad, antara teknologi yang dicadang untuk program NTIS di FELDA Mempaga, iaitu sistem robotik di tapak semaian dan ladang sawit, robot penyemburan racun dan baja di ladang fertigasi serta penggunaan dron dan analisis Big Data bagi mengoptimum ladang sawit.

“Pihak FELDA sedang meneliti kesesuaian teknologi cadangan untuk ujian lapangan di FELDA Mempaga sebelum penggunaan secara besar-besaran jika berkesan di tanah rancangan lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -