BERSATU tidak boleh diketepikan oleh PAS dan Umno

Perpaduan Melayu hanya akan kuat dengan penglibatan ketiga-tiga parti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha mengekalkan perpaduan Melayu menerusi perjuangan politik ketika ini tidak boleh mengenepikan BERSATU, demikian kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, pergerakan parti Melayu mestilah tidak terhad hanya antara PAS dan Umno, tetapi perlu melibatkan sama parti lain termasuk BERSATU.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa parti itu akan mendapatkan semula kuasa kerajaan hanya menerusi kerjasama dengan PAS tanpa patut dihalang sesiapa.

Menurut Khaled, Umno adalah parti politik Melayu tertua dan terbesar yang mempunyai mandat serta peranannya sebagai parti nasional terbesar dan menjadi teras kepada kekuatan politik orang Melayu-Islam.

“Bagi (pendapat) saya, lebih besar (gabungan) lebih baik. (Umpama) satu berkas lidi, kalau dah besar banyak guna, lebih kuat. (Jadi) Bagi saya, lebih baik kita (parti-parti Melayu Umno, PAS, BERSATU dan lain-lain) bersama. Bukan sahaja dua parti (PAS dan Umno).

“Tapi (semua) parti-parti Melayu (wajib) bersama dalam satu usaha mengekalkan kuasa (pemerintahan Melayu-Islam),” ujarnya Ustaz Ahmad ditemui media selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Kota Bharu, semalam.

Tokoh politik ini turut mengenang betapa parti-parti Melayu di negara ini sudah lama bertelagah yang menyebabkan kerugian kepada orang Melayu dan Islam itu sendiri hinggalah Allah mentakdirkan penyatuan.

Jelasnya, perkara itu menimbulkan kesedaran kepada umat Melayu dan rakyat betapa tidak sepatutnya saling bertelagah di mana PAS, Umno dan BERSATU telah diberi peluang oleh Allah membetulkan keadaan tersebut.

Minggu lalu, Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah telah menegaskan bahawa ketiga-tiga parti tersebut saling memerlukan antara satu sama lain dan tidak ada satu parti akan berjaya tanpa kerjasama.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, kelebihan yang ada pada setiap parti itu akan melengkapi antara satu sama lain dan PAS berpendirian bahawa kerjasama politik itu mesti membabitkan ketiga-tiganya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU memuat naik di Facebook beliau gambar pertemuan bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno’, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami berbincang mengenai usaha-usaha untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara BERSATU, PAS dan Umno,” ujar beliau pada pertemuan dipercayai di Bangunan Parlimen itu. – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -