PAS Parit santuni mangsa banjir di Titi Gantung

- Advertisement -

PARIT: PAS Kawasan Parit telah mengadakan lawatan menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Kampung Parit 14, Titi Gantung, Bota, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Lawatan Ketua Pemuda PAS Parit, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar ini turut disertai Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Parit, Shamsuk Kamal Jamhari dan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Parit, Mohd Hairi Mat Zin.

Juga bersama adalah Setiausaha Masjid as-Sohabat, Jaafar Bin Hashim dan Abdul Syawal Hassan selaku Bilal Masjid as-Sohabat, Kampung Parit 13.

Ustaz Mohd Zahid dalam kunjungan itu telah menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada setiap keluarga mangsa dan berpesan agar Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 kekal diamalkan.

Beliau juga pada kesempatan tersebut turut menyantuni para petugas barisan hadapan yang turut bersama menjaga kebajikan mangsa dan memastikan SOP pencegahan COVID-19 dipatuhi di PPS tersebut.

Ustaz Mohd Zahid mengharapkan semua pihak sama ada daripada institusi kerajaan, swasta dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk individu-individu berkemampuan terus cakna dan bantu golongan memerlukan.

Setakat kelmarin lima keluarga telah ditempatkan di PPS ini berikutan cuaca tidak menentu ketika ini dan banjir lebat yang menyebabkan peningkatan paras air dan banjir di kampung tersebut. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -