Halal haram vaksin tidak pernah diabai Fatwa

- Advertisement -

TIADA perkara baru yang saya ingin kemukakan. Perkara ini telah diterangkan berkali-kali oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ramai pakar perubatan di Malaysia mengenai Status Halal Vaksin.

Majlis Fatwa Kebangsaan sudah beberapa kali mengadakan muzakarah sejak tahun 1988 berkenaan hukum penggunaan vaksin. Semua vaksin adalah harus kecuali vaksin Biothrax dan Rotateq.

- Advertisement -

Untuk pengetahuan, kedua-dua vaksin (Biothrax dan Rotateq) ini tidak termasuk dalam program imunisasi nasional yang diwajibkan kepada kanak-kanak Malaysia. Lagi pun Virus Anthrax bukannya wabak penyakit buat masa ini. Manakala, bagi mencegah jangkitan kuman Rotavirus, terdapat alternatif baharu yang halal – Rotarix. Jadi, tidak ada isu halal atau haram bagi ibu-bapa yang memberikan anak mereka divaksin mengikut jadual program imunisasi kebangsaan.

Kita mesti berpegang kepada majoriti ilmuwan dan ulamak dalam bidang masing-masing. Doktor adalah ahli perubatan, majoriti menyarankan vaksin kepada anak-anak kita. Para ulamak pula adalah pakar dalam agama, majoriti ulamak juga menyokong dengan beberapa kenyataan rasmi serta Fatwa. Bukan sahaja dalam negara kita malah seluruh dunia.

Jika terdapat segelintir kecil doktor dan Ustaz yang menentangnya. Itu adalah suatu lumrah dan perkara biasa. Pendapat yang shaz (terpencil) tidak perlu diambil sebagai sumber hukum untuk diaplikasikan kepada masyarakat umum. Jika mereka ingin beramal secara peribadi, silakan. Tetapi jika mereka juga membentuk kumpulan atau persatuan untuk menentang apa yang telah diputuskan oleh pihak berautoriti, sesuatu tindakan perlu diambil. Isu ini memerlukan ketegasan pemerintah supaya tidak semakin menjadi barah kefahaman songsang dalam masyarakat.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 1/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -