Mantan Wartawan Harakah Pahang meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Mantan wartawan Harakah Pahang, Allahyarham Basiron Abdul Wahab, 59, pergi menghadap Ilahi jam 12.30 tengah hari tadi dan akan dikebumikan di kampung halamannya di Kuala Lipis.

Advertisement

Jenazah Allahyarham akan diuruskan, kemudian disolatkan di Masjid Bukit Kepayang selepas solat Asar.

Allahyarham sebelum ini disahkan strok oleh pegawai perubatan Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh pada 18 Febuari lalu dan kesihatannya semakin merosot hari demi hari.

Menurut keluarga terdekat, Rosliza Abdul Malik, 37, Allahyarham dimaklumkan hanya mampu menggerakkan sebelah tangan dan keadaan tersebut telah memberi kesan langsung kepada kondisi jantung Allahyarham.

Allahyarham pergi meninggalkan seorang balu, Siti Hajar Abdullah, 49, dan dua orang cahaya mata, Khairul Imran Basiron, 26 dan Nurul Syarena Basiron, 16.

Allahyarham telah berkhidmat dengan Harakah sejak 1996 dan menjadi wartawan Pahang yang giat menulis untuk pelbagai berita dan rencana. – HARAKAHDAILY 1/12 /2020