PAS gerak misi bantuan santuni mangsa banjir

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Permatang Pauh telah menggerakkan misi bantuan kepada mangsa banjir antaranya di Kampung Kuala Mengkuang dan Kampung Mengkuang Titi, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Inisiatif ini bertujuan membantu keluarga penduduk yang terjejas dengan mengedarkan sumbangan keperluan dan meringankan beban dihadapi kesan banjir tersebut menerusi kerja-kerja pembersihan.

Operasi mencuci oleh anggota Jabatan Amal dan pemberian makanan oleh Muslimat PAS ini sedikit sebanyak juga memberikan motivasi kepada mangsa atas kemusnahan harta benda dan kebimbangan terhadap ketidaktentuan cuaca.

“Cakna akan situasi mangsa banjir yang kepenatan dan menghadapi kesukaran, agihan sumbangan ini diharap dapat meringankan dan memberikan sedikit kelegaan kepada mereka,” kata Ketua Muslimat PAS Permatang Pauh, Ustazah Norhapiza Saad.

ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang turut serta berkunjung dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa banjir dari rumah ke rumah telah menyeru agar usaha membantu seperti ini dipergiatkan.

Katanya, dalam situasi pandemik COVID-19 ketika ini di mana segolongan masyarakat sudah terjejas pendapatan, musibah banjir ini menjadikan kehidupan penduduk semakin bertambah terhimpit dan sukar.

“Di sinilah peranan kita bagi memastikan rakyat sentiasa diambil peduli dan dibantu,” ujar beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.

Pimpinan PAS Permatang Pauh yang turut serta pada misi ini adalah Timbalan Yang DiPertua, Amir Hamzah Abdul Hashim dan Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Fawwaz Md Jan dan Ketua Penerangan Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhamad Zakaria. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -