‘Miskin digital’ di sebalik desakan ‘Online Learning’

- Advertisement -

NORMA baru pembelajaran atas talian, online learning akhir-akhir ini ‘terpaksa’ menjadi semakin popular ekoran daripada wabak berbahaya secara tiba-tiba ditakdirkan menimpa dunia. Bukan sahaja norma baru kepatuhan kepada SOP, amalan harian, ibadah, pekerjaan malahan suasana pendidikan yang berubah ini juga memberi impaknya tersendiri.

Melihat kepada perubahan kehidupan seharian manusia ke arah pendigitalan atau digelar dunia sebagai ‘The Digital Transformation’ sejak berdekad lagi, tidak pelik sekiranya ia kini boleh menjadi norma baharu. Malah, disebabkan pendigitalan memberi pelbagai kemudahan dari sudut proses, capaian dan penjimatan kos lebih-lebih bagi mereka yang terlibat dalam industri, masyarakat dunia kini telah berubah ke arah itu. 

Sebenarnya, sejarah pembelajaran atas talian, revolusi e-learning atau virtual learning telah mula diguna pakai seawal 90-an lagi untuk para pelajar yang mempunyai keterbatasan hadir ke medan ilmu. E-learning di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Australia, telah sekian lama diadaptasi. Berbeza pula dengan negara Jepun yang mana kita sedia maklum sangat terkehadapan dalam teknologi inovasi, mempunyai kontradik dalam pembelajaran online learning atas faktor tertentu.

- Advertisement -

Itu di negara luar, bagaimana pula di negara kita sendiri? Adakah dunia pendigitalan dan ‘atas awan’ membantu pendidikan Malaysia ke arah yang lebih baik? Jangan terpaksa tular di ‘atas pokok’ lagi.

Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang mempunyai sempadan geografi yang cukup unik. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penduduk dari kalangan bandar 76.6 peratus dari luar bandar 23.4 peratus. Manakala, jika dilihat kepada perbezaan taraf sosio ekonomi pula, mereka yang tinggal di luar bandar pula memperolehi pendapatan isi rumah yang lebih rendah.

Berbalik kepada isu pembelajaran atas talian dan kaitannya dengan masyarakat Malaysia, permasalahan berkaitan penggunaan teknologi dan capaian internet biasanya berlaku dalam kalangan mereka yang kurang mampu dan tinggal di luar bandar. ‘Miskin digital’, satu gelaran yang baru-baru ini diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah berkaitan dengan pembelajaran atas talian. Pasti kita masih ingat lagi dengan cerita viral seorang pelajar Kota Kinabalu, Sabah, Veveonah Mosibin yang gigih daki bukit dan panjat pokok semata-mata untuk menjawab peperiksaan online.

Viral juga baru-baru ini kisah para pendidik yang sanggup meredah hujan di saat musim tengkujuh semata-mata untuk mencurahkan ilmu kepada pelajar-pelajar yang mempunyai masalah ‘miskin digital’ ini. Teringat juga luahan seorang ibu yang bekerja sebagai tukang cuci berkenaan anaknya yang memerlukan laptop baru dan internet laju untuk ‘masuk kelas’ secara maya ini. Subhanallah.

Guru, ibu bapa dan pelajar semuanya melalui episod pengorbanan tersendiri dalam memenuhi tuntutan ilmu era pandemik hari ini. Belum lagi berbicara soal digital security, keselamatan maklumat peribadi di sebalik online learning. Penggunaan aplikasi video conference untuk tujuan pembelajaran yang juga semakin popular seperti Zoom, Google meet, Cisco webex dan lain-lain turut mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Begitu juga dengan keselamatan dokumen-dokumen penting yang mana mutakhir ini banyak digunakan secara digital.

Justeru, bagaimana norma baharu pendidikan negara terjamin keberjayaannya sekiranya isu-isu ini masih belum dapat diatasi sepenuhnya? 

Antara usaha yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini adalah memperkasa sistem wakaf bagi membantu para pelajar yang diuji dengan ‘miskin digital’. Sistem wakaf telah lama dipratikkan oleh umat Islam terdahulu malah sangat dituntut. Kita biasa dengar dan berhadapan dengan mereka yang terlibat dengan wakaf al-Quran dan wakaf buku untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan. Seiring perkembangan teknologi, wakaf alat peranti digital sangat baik dan menarik untuk dilaksanakan. Ia bukan sahaja dapat membantu pelajar dan guru, pemilik kedai komputer Muslim juga dalam masa yang sama dapat dibantu.

Lebih menarik, sekiranya ada pertubuhan kerajaan, organisasi, NGO mahupun individu yang dapat mewujudkan siber kafe wakaf khas untuk pelajar ini. Sama konsepnya seperti kewujudan pusat jalur lebar di kawasan-kawasan terpencil, cuma ia lebih kepada memperkasa sistem wakaf untuk para penuntut ilmu. Selain itu, di samping memberi infak wang ringgit, pakaian dan alatan sekolah kepada pelajar kurang mampu seperti kebiasannya saban tahun, memberi infak alatan digital dan kemudahan pelan mudah alih atau wifi untuk kegunaan online learning juga sangat digalakkan seiring keperluan hari ini. Kesedaran dan pengetahuan mengenai keselamatan siber boleh diperkasa dengan mengadakan lebih banyak talk, kempen kesedaran dan maklumat bersesuaian.

Akhir sekali, dalam menyoal pendidikan digital era pandemik hari ini berjaya atau tidak bukanlah ketentuan kita sebagai hamba. Kita hanya mampu berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakal lebih-lebih lagi dalam kerangka ilmu, kerana ilmu Allah S.W.T itu terlalu luas. Seperti firman-Nya dalam surah al-Kahfi ayat 109:

“Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”

Ilmu Allah S.W.T itu terlalu luas untuk dipelajari dan diambil pengajaran, pandemik COVID-19, vaksin, online learning kesemuanya adalah dalam iradah dan ilmu dari Pencipta kita, Allah Ya ‘Alim, Ya Hakim, Ya Rashid. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang sedang berada dalam jalan menuntut ilmu walau bagaimana sukar sekalipun, seperti satu Hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

 “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah S.W.T akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah S.W.T akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. 

[Riwayat Muslim (4867)]

Semoga semua yang terlibat secara langsung dalam pembelajaran norma baharu sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun kolej dan Universiti diberikan kemudahan dan diterima segala amal oleh Allah S.W.T. Amin

AQILA ABD – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -