NADMA siap siaga hadapi banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Dato’ Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat telah diadakan yang dihadiri oleh wakil kerajaan negeri serta agensi-agensi kerajaan yang lain pada 28 September lalu.

- Advertisement -

Katanya, ia bertujuan untuk menyelaras persediaan serta koordinasi di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri bagi menghadapi musim banjir.

Selain itu, katanya kerajaan telah meluluskan bantuan awal kewangan dengan pengagihan sebanyak RM50,000 kepada setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan RM20,000 bagi setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah serta RM280,000 kepada Angkatan Pertahanan Awam.

“Sebanyak 15,000 cubicle tent telah dihantar untuk kegunaan mangsa-mangsa bencana banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Sebanyak 26,000 unit lagi akan dihantar kemudian secara berperingkat-peringkat.

“NADMA dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan telah menghantar sebanyak 7,170 unit kit makanan ke seluruh negara. Selebihnya akan dihantar secara berperingkat-peringkat,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang bertanya mengenai tahap kesiapsiagaan NADMA dalam menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh.

Menurut Mohd Redzuan, NADMA juga telah mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Bencana Semasa Pandemik Covid-19 pada 6 November lalu kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Tambahnya lagi, kerajaan telah menyediakan sebanyak 5,422 buah PPS yang boleh menampung sekurang-kurangnya 200 orang mangsa banjir di setiap satu PPS.

“Ini bermakna jumlah keseluruhan kapasiti PPS pada hari ini boleh menampung kapasiti sehingga 1.55 juta orang mangsa. Sebagai tambahan, petugas-petugas di PPS juga telah bersedia dengan SOP-SOP yang ditetapkan bagi menangani penularan wabak Covid-19 di kalangan mangsa banjir di PPS,” ujarnya.

Katanya, NADMA akan terus bekerjasama dengan setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Negeri dan lain-lain agensi berkaitan melalui sesi libat urus, simulasi bencana, pembinaan kapasiti komuniti dan perbincangan untuk meningkatkan ketahanan semua pihak terhadap bencana. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -