Hasrat merealisasikan Jengka sebagai Pusat Ilmu

- Advertisement -

KUALA KRAU: Pertumbuhan Pusat Pendidikan Islam diharap menyumbang kepada kelahiran lebih ramai para cendekiawan Islam dalam pelbagai bidang, selain menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.

- Advertisement -

ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim al-Hafiz menyatakan impian tersebut semasa mengadakan lawatan ke Madrasah Tahfiz Mawaddah dan Tahfizul Nur Hidayah di Taman Desa Jaya Bandar Pusat Jengka, di sini semalam.

Beliau hadir bersama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warisan Amal Prihatin Jengka, Abdul Fataf Jaafar itu menyantuni 15 pelajar lelaki di Tahfiz Mawaddah dan 14 pelajar perempuan di Tahfizul Nurul Hidayah yang sedang menghafaz al-Quran.

Hasrat Ustaz Shahril, pertumbuhan Pusat Pendidikan Islam akan selari dengan kewujudan institusi pendidikan lain antaranya Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang sekali gus mengangkat kedudukan Jengka untuk dikenali sebagai ‘Pusat Ilmu’.

Malah difahamkan, dalam usaha merealisasikan Bandar Pusat Jengka sebagai Bandar Ilmu, beberapa perancangan melibatkan pembinaan kolej pengajian dan institusi pendidikan pelbagai peringkat, termasuk aliran Islam giat dilakukan.

“Al-Quran ini seperti haiwan liar di hutan. Apabila terdengar sahaja ranting dipijak, maka larilah ia. Demikian juga penghafaz al-Quran, ia akan lari dari penghafalnya jika berbuat maksiat dan sukar menghafaznya kembali jika tidak bertaubat,” ujar beliau.

Wawasan Ustaz Shahril, beliau mahukan Jengka bukan sahaja membangun dari segi kemajuan fizikal, tetapi juga kerohanian serta wujud sifat ta’awun serta kasih sayang kepada semua terutama golongan yang kurang bernasib baik.

Selain ziarah ke madrasah tahfiz tersebut, beliau juga sempat singgah menyampaikan sumbangan barangan harian dan wang tunai kepada ibu tunggal di Desa Jaya, di sini. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -