Tercampak keluar kereta, jatuh 15 meter dari jejambat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas tercampak dari kenderaan pelbagai guna yang dinaikinya sebelum terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 15 meter dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala Jalan Tun Razak, dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata dalam kejadian pada kira-kira 5:40 petang, itu, Toyota Estima yang dipandu bapa mangsa yang berumur 41 tahun telah terbabas sebelum melanggar tembok kiri laluan di lebuh raya berkenaan.

- Advertisement -

“Akibat kemalangan itu, kanak-kanak perempuan yang berada di bahagian penumpang belakang tercampak keluar menerusi tingkap belakang kanan kereta sebelum terjatuh dari flyover (jejambat).

“Mangsa terjatuh ke atas sebuah daripada deretan kereta yang diparkir di sebuah pusat pameran kenderaan di Jalan Pahang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan retak paha kiri dan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala bapanya tidak mengalami kecederaan.

Kejadian tersebut tular di media sosial dengan sebuah video dari kamera litar tertutup berdurasi 30 saat memaparkan seorang kanak-kanak terjatuh dari jejambat di Lebuhraya Duke di Jalan Pahang. – BERNAMA

- Advertisement -